Wednesday, January 30, 2008

Kaunselor terkenal senget pemikiran

Pakar psikologi atau pakar kaunseling, mereka juga adalah manusia biasa. Mereka dilahirkan di dalam satu keluarga yang kita tidak tahu samada kaya, miskin, berpecah, bermasalah, dididik atau sebagainya.

Masa dan peluang telah menentukan mereka berjaya secara material dan berada pada kedudukan tertentu. Apatah lagi apabila media memberikan publisiti kepada mereka. Sedangkan ada lebih ramai manusia normal yang berwibawa dan berbakat tetapi tidak ditonjolkan.

Adakalanya sebagai orang yang sedang mencari identiti, manusia termasuk kaunselor juga terpengaruh dengan pelbagai gejala. Gejala seperti pengaruh rakan sebaya, gejala wang, rasuah, keegoan, menganggap diri sebagai paling cerdik dan bermacam lagi. Seperti juga mereka yang bekerja dipelbagai profesion lain . Termasuk juga ustaz dan ulama duniawi.

Teringat saya akan diri seorang kawan yang bekerja sebagai kaunselor di sebuah Pusat Pemulihan Dadah. Dia seorang wanita. Lama-lama mengadakan sesi kaunseling, akhirnya ia terpikat dengan 'kaunseli'nya yang banyak idea. Akhirnya pandangan dan nasihat kawan-kawan lain tidak didengarinya. Apa jadi kemudiannya ? Bukanlah bertujuan menghina. Tetapi biarlah bertempat memberikan pandangan atau bertindak membicarakan sesuatu maslahat dikhalayak umum.

Begitu juga, ada kaunselor yang beria-ia cuba membantu pelanggannya yang bermasalah, pelanggan yang 'senget pemikirannya' , pelanggan yang tidak mengenal diri sendiri dan bermacam lagi.

Sudahnya, bila terlalu banyak bercakap dan nasihat serta membimbing menggunakan kaunseling barat tanpa mengamalkan cara deen, akhirnya kaunselor itu pun boleh menjadi senget pemikirannya.

Apa yang boleh kita harapkan daripada orang semacam ini ?

Ego mengatasi segala-galanya. Bila orang seperti ini dilantik mengetuai mana-mana organisasi hanya kerana 'public figure' atau gaya politikusnya tanpa melihat ilmu yang ada padanya, tunggu dan lihatlah saat-saat kelingkupan organisasi tersebut.

Tuesday, January 29, 2008

Potong Semua Tapi Masih Mahu

Dari Utusan Malaysia.

Kata seorang kawan, jika potong semuapun, mereka dari kalangan Barisan Nasional masih mahu menjadi pemimpin sedangkan mereka layak dipimpin.

Masalah utama bukan ADUN atau Ahli Parlimen. Masalah besar adalah pengundi.

Ada pengundi kawasan tertentu, letak sahaja sesiapapun hatta 'lembu' dan 'kerbau', mereka tetap akan memangkah lembu dan kerbau.

Apa hendak jadi dengan pengundi berkenaan ?

It's not the voting that's democracy; it's the counting -
Tom Stoppard

Friday, January 25, 2008

Bomoh : Omongan Kosong Sahaja

Bomoh-bomoh yang mendakwa boleh mengubati pesakit, mengetahui di mana orang hilang, manaikkan kedudukan orang tertentu dan pelbagai lagi terutama sekali dari kalangan orang Islam di Malaysia bukan sahaja memalukan umat Islam malah menjatuhkan moral mereka sendiri dipandangan umum.

Bomoh, pawang atau perawat secara tradisional pada mulanya menggunakan ayat-ayat Quraan dan tumbuh-tumbuhan untuk rawatan tetapi kini terlalu ramai bomoh yang mengambil kesempatan di atas penderitaan orang lain untuk menipu. Mereka bukan sahaja menggunakan kuasa roh, kuasa alam sekeliling, kuasa jin dan sebagainya, malah mereka mengambil peluang merosakkan akidah orang ramai.

Ada kalangan bomoh yang tidak menunaikan solat. Melakukan kerja kebomohannya bermula dari waktu asyar hinggalah kelarut malam tanpa berhenti menunaikan solat.

Bukan setakat itu, ada yang menjadikan pesakit sebagai mangsa seks mereka. Ada pula yang mengambil kesempatan memeras wang pesakit. Ada yang meminta pelbagai barang untuk tujuan rawatan. Banyak masa pesakit dihabiskan tanpa pulangan. Kebanyakkan bomoh-bomoh terkenal menggunakan pengaruh orang ternama untuk melariskan ke'boh-mau' mereka.

Memang, penentu segala-galanya adalah Allah swt. Malangnya, ramai masyarakat Malaysia diperbodohkan oleh bomoh. Pulangan langsung tidak ada.

Bagi saya, lebih baik cara rawatan moden di hospital-hospital atau rawatan ayurvedic, homeopathy dan sebagainya. Ada juga nampak keberkesanannya. Kita boleh lihat dan tahu dari segi saintifik, punca penyakit, cara rawatan dan impaknya kepada pesakit. Semua rekod-rekod rawatan mudah diperolehi.

Apa yang dapat bomoh buktikan. Menipu dan tidak telus sepanjang masa dengan memberikan contoh-contoh dan andaian palsu yang direka-reka. Menuding jari dan menyalahkan jiran-jiran dan saudara-mara sebagai punca masalah.

Jika kita minta mereka buktikan atau tunjukkan pesakit yang berjaya dipulihkan, mereka akan memberitahu tidak ada alamat, percaya dan yakinlah untuk menerima kejayaan rawatan, jangan banyak menyoal dan pelbagai tipu daya yang digunakan.

Jika dibiarkan khidmat bomoh berterusan, tunggulah saat kehancuran akidah dan kerosakkan akhlak masyarakat. Sembilan puloh sembilan peratus (99%) bomoh di Malaysia bercakap sahaja. Tidak dapat membuktikan apa-apa jika di minta.

Jika mereka benar, sudah tentu mereka dapat buktikan kejayaan mereka secara saintifik atau secara hitam putih.

Bolehkah penyakit parkinson's dirawat secara berurut ? Adakah pankreas dapat dipulihkan dengan jampi serapah ? Berapa ramai pesakit barah payu dara boleh dipulihkan dengan sireh yang dimentera ? Tulang yang patah bolehkah disambung dengan mengurut?

Tidak ada bukti. Hanya omongan kosong sahaja.

Bomoh-bomoh di Malaysia sepatutnya mencari kerja lain. Mereka perlu ingat bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja terhadap diri mereka sendiri tetapi juga kepada anak isteri, masyarakat dan Allah swt.

Sunday, January 20, 2008

Keroh Perlu Bertukar Pemimpin Dan Parti

Separuh abad mendengar kalimat kemerdekaan. Namun apa itu merdeka ?

Penduduk Keroh, Perak seolah-olah memahami kemerdekaan apabila kerajaan yang ada membekalkan air, elektrik dan jalanraya kepada mereka. Dua puloh tahun yang lalu, pekan kecil Keroh ini dikenali sebagai Pekan Komunis atau tempat jin bertendang.

Sejak merdeka ia diperintah oleh wakil rakyat dari kerajaan Barisan Nasional. Tidak banyak perubahan fizikal yang ada di sini. ADUNnya sekarang adalah juga Menteri Besar Perak. Dato’ Tajol Rosli Ghazali dikatakan orang kesayangan istana Perak. Bapanya merupakan bekas Menteri Besar Perak yang pernah berbakti dan banyak jasanya kepada istana.

Tajol seorang yang taat setia kepada sesiapa sahaja yang menjadi ketua atau Perdana Menteri. Beliau diibaratkan seperti ‘lalang’. Tidak mempunyai prinsip pentadbiran atau halatuju politik. Banyak rungutan yang diterima daripada penduduk Keroh. Segala projek yang ada di sekitar Perak termasuk di Keroh, asyik-asyik diberikan kepada 'kenalan' yang sama. Penerima habuan sudah menjadi jutawan tetapi rakyat biasanya masih seperti dua puloh tahun yang lalu. Malah, dihebohkan juga, kakitangan awam di Perak tidak sehaluan dengan dasarnya. Banyak arahan-arahan Tajol tidak diendahkan mereka.

Keroh kini tertinggal dalam banyak segi. “Sepatutnya jalan dari Baling ke Gerik ada susur keluarnya ke pekan ini. Tetapi kerana lembutnya MB sekarang, beliau tidak dapat membuat apa-apa. Perniagaan atau pembangunan ekonominya sudah tidak serancak seperti dulu” merungut Hj Ali seorang penduduk lama di sini.

Penduduk Keroh mahukan perubahan. “Masyarakat asli di sini merupakan penyokong kuat yang digula-gulakan oleh BN demi mendapatkan undi mereka. Begitu juga undi tentera dan pasukan PGA yang memihak kepada parti pemerintah” kata Maniam seorang pemandu teksi yang sudah empat kali mengundi.

Parti politik alternatif iaitu PAS telah beberapa kali meletakkan calon dalam pilihanraya yang lalu tetapi tidak berjaya. “Tidak ada strategi baru dari PAS. Orang Cina, penduduk asli dan anggota badan beruniform masih belum dapat dimesrakan” kata Abdul Halim dari Kg Air Panas.

Masyarakat di sini memerlukan berita-berita dan perkembangan baru. Mereka berharap agar kekerapan kedatangan pemimpin alternatif dapat membuka mata pengundi di sini.

Penduduk lama Keroh juga mengharapkan anak-anak tempatan yang berhijrah demi mencari rezeki di perantauan, dapat balik dan mengundi dalam pilihanraya kali ini. “Sudah tiba masanya perubahan dilakukan” kata mereka.

Hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri.

Rata-rata penduduknya gembira mendengar berita bahawa Tajol tidak akan bertanding lagi di dalam pilihanraya kedua belas ini. Namun bagi mereka, pemimpin BN adalah ibarat, "keluar mulut buaya, masuk pula kemulut naga ".

Friday, January 18, 2008

Seorang mabuk dan seorang lagi nyanyok ?

"Kelihatan macam saya. Macam suara saya".

VK Lingam dalam jawapannya kepada Suruhanjaya Siasatan Klip Video Lingam yang menggadaikan maruah pemimpin tertinggi negara ketika itu.

Tun Dr M pula dalam setiap persoalan yang diajukan kepadanya memberitahu,"saya tidak ingat " atau "saya lupa".

Kesilapan lampau selama 22 tahun memerintah negara, masih memberikan peluang kepada Tun untuk menyatakan perkara sebenar.

Hebat mereka berdua.

Kata orang Kedah, "Lingam hebat dan depa berdua mudah lupa. Seorang lupa kerana kaki mabuk seperti kata Tunku Adnan dan seorang lagi nyanyok". Betulkah ?

Inilah episod politik demokrasi ala-Malaysia.

Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dalam ceramahnya memberikan tawaran hebat kepada pengundi di Malaysia. Jika Barisan Alternatif menang, harga minyak akan diturunkan dan pengajian percuma sehingga ke peringkat universiti.

Tiada salah untuk mencuba tawaran ini. Undi ditangan kita.

Dari alkerohi Sunday, September 9, 2007

Bajet 2008 sewajarnya menterjemahkan falsafah pendidikan percuma sehingga ke tahap ijazah pertama dengan mengambilkira sebab-sebab kemanusiaan, ekonomi, kebajikan dan pendidikan warganya.

Falsafah yang dicadangkan adalah untuk melahirkan masyarakat yang berpendidikan tinggi bukan sahaja untuk negara Malaysia tetapi juga untuk keuntungan agama, bangsa dan demokrasi itu sendiri.

Sudah sampai masanya dengan pendapatan negara yang tinggi dalam bidang petroleum, warga Malaysia diberikan hak dan manafaat menikmati kemakmuran bukan sahaja dalam bidang pendidikan tetapi juga dalam soal rawatan kesihatan.

Sewajibnya dalam negara seperti di Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah tidak ada. Ianya ibarat, 'rumah kata pergi, kubur kata mari". Kewujudannya tidak dikehendaki. Susah lagi menyusahkan.

Wednesday, January 16, 2008

Sharlinie Mohd Nashar 5 tahun


Sampai Bila ?

Apa kata Johari
Baharom Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Bukan satu, dua atau tiga kes. Semak laporan Polis, beribu kes tiada penyelesaian.

Tuesday, January 15, 2008

Anak Angkat : Cara Memohon

Pasangan yang telah lama berkahwin tetapi tidak mempunyai anak sendiri boleh mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan memohon anak angkat.

Biasanya ada dua cara dalam mendapatkan anak angkat.

Pertama, pasangan telah mendapatkan anak dari keluarga kenalan atau orang tertentu. Kedua, memohon mendapatkan anak dari JKM.

Dalam kes pertama, mereka yang telah mendapatkannya dari keluarga pemberi anak hendaklah mempastikan mempunyai surat keizinan penyerahan anak berkenaan yang menyatakan bahawa pemberian anak kepada keluarga angkat adalah dengan sukarela. Keluarga kandung tidak akan memfailkan apa-apa permohonan untuk mendapatkan semula anak tersebut.
Bagi mereka yang ingin memohon anak dari JKM pula, perlulah melalui prosidur tertentu yang khidmatnya disediakan di setiap Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah di seluruh Malaysia.

Dalam kes-kes seperti ini pegawai dari JKM akan mendapatkan latarbelakang kesesuaian keluarga angkat dalam membela anak tersebut. Ini termasuklah kesihatan, pekerjaan, pendapatan, kasih sayang, tanggungan, keupayaan menyekolahkan, keadaan rumah dan sebagainya bagi mempastikan tidak berlakunya kes pengabaian, penderaan dan sebagainya.

Dalam proses kes kedua ini, keluarga atau pemohon yang terpilih akan diberitahu untuk melihat kanak-kanak yang akan diberikan kepada mereka di mana-mana Rumah kanak-Kanak keloloaan JKM. Sekiranya dipersetujui, segala dokumen akan dilakasankan untuk memenuhi kriteria perundangan.

Difahamkan pihak JKM akan sedaya upaya mendapatkan kanak-kanak seperti yang dipohon walaupun tidak seratus peratus tepat dari segi keinginan atau kehendak.

Bagi pasangan Islam, mereka sekurang-kurangnya perlu melalui ‘pembelaan’ selama dua tahun manakala bagi pasangan bukan Islam, tempoh tersebut hendaklah enam bulan sebelum keluarga angkat ini dapat meneruskan proses pendaftaran sebagai ‘anak angkat’.

Bagi kes pertama, selepas tamat tempoh pembelaan, mereka boleh merujukkan kes ke Jabatan Pendaftaran Negara dan mahkamah untuk mendapatkan taraf anak angkat.

Segala proses perlu didokumentasikan secara undang-undang supaya tidak timbul perbalahan, ungkit mengungkit dan perebutan anak diantara keluarga kandung dan keluarga angkat di masa hadapan.

(maklumat dari JKM)

Sunday, January 13, 2008

"Undilah Barisan Nasional !"

Bangsa yang memperkosa hak bangsa lain atau orang yang memperbudakkan sesama manusia telah melakukan kesalahan. Tetapi kesalahan tidak boleh ditimpakan kepada si gagah sahaja. Yang dijajah dan diperkosa atau diperbudak turut bersalah. Mengapa mahu dijajah? Orang lain tidak dapat menolong kalau yang dijajah telah menggalangkan batang leher sendiri untuk disembelih. (Hamka)

Jika segan, malas atau enggan berhijrah, Undilah Barisan Nasional !

Selepas sahaja BN menang besar dalam pilihanraya ke 12 nanti, banyak yang akan rakyat perolehi. Jangan sia-siakan peluang ini untuk membantu meraih satu keputusan yang luar biasa.
Jika bukan kerana parti BN, mana mungkin rakyat Malaysia memperolehi bekalan elektrik, air, jalanraya, pendidikan percuma, indeks komposit yang boleh mencecah 1500 mata, menteri yang telus, negara tanpa rasuah, pemimpin putih bersih dan segala-gala yang cantik dan indah.

Segala kemewahan dan keagungan negara-negara di dunia adalah hasil usaha pemimpin BN.

Oleh itu, sudah 50 tahun merdeka, tidak ada lagi pembangunan yang perlu dilakukan di Malaysia. Cuma 'finishing pembangunan' untuk mengindahkan lagi pendengaran telinga sebagai halwa. Iaitu dihebohkan Koridor berbillion ringgit yang diibaratkan sebagai 'semangat' yang tidak kelihatan.

Apa yang hendak diharapkan dari PAS, Keadilan dan DAP ?

Bukankah mereka sudah diuji ?

Bangsa Rom pada masa dahulu sangat kuat berusaha dan rajin bekerja sehingga berjaya kepuncak ketinggian. Namun setelah ditimpa penyakit lalai dan malas, peradaban yang ditegakkan oleh nenek moyang mereka runtuh sedikit demi sedikit. Ketika itu mereka menyangka berusaha dan bekerja itu bukan pekerjaan orang yang merdeka tetapi pekerjaan budak-budak. (Sejarahwan)

Wednesday, January 9, 2008

Maal Hijrah 1429

Makkah !

Penduduk kotamu pernah mengherdik dan mencerca Rasul. Makkah, penghuni di dadamu pernah menodai kebangkitan dan perjuangan Rasul terakhir.

Makkah. Rasul berhijrah dari bumimu menuju ke Madinah.
Makkah, engkau menjadi saksi bermulanya detik Muharram dengan hijrahnya Rasul kita.

Diatas keyakinan Rasul yang dikasihi, kini Islam tercinta ditegakkan.

MAAL HIJRAH (dari RTM)

Satu Muharam detik permulaan
Perkiraan tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan umat Islam
Dari kota Makkah ke kota Madinah

Atas keyakinan dan iman yang teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar bersatu
Rela berkorban
Harta dan nyawa
Demi menegakkan Islam tercinta

Hijrah itu pengorbanan
Hijrah itu perjuangan
Hijrah itu persaudaraan
Hijrah membentuk perpaduan

Oleh itu mari semua
Kita sambut Maal Hijrah
Tingkatkan semangat
Tegakkan syiar Islam
Untuk sepanjang zaman

Esok, Maal Hijrah datang lagi. Semua Muslimin, Muslimat dan rakyat Malaysia pengunjung blog ini, diucapkan Hijriah ke 1429.

Apa guna mengeluh dan menderita dengan keadaan yang ada sedangkan kita boleh mengubahnya.
Hijrahlah kepada yang lebih baik.

Wednesday, January 2, 2008

Chua Soi Lek: Pergi Secara Bermaruah ?

Chua Soi Lek, Menteri Kesihatan Malaysia yang meninggalkan persada politik Malaysia yang disertainya sejak tahun 1982, kini berusia 60 tahun.

Hari ini merupakan satu detik yang pasti tidak dapat dilupakannya. Samada pembunuhan kariernya dirancang atau tidak, itu satu persoalan lain.

Samy Vellu masih bermaharajalela. Kebangkitan Hindraf menyedarkan masyarakat Tamil di Malaysia bahawa Samy bukan lagi 'seperti tuhan' yang mereka anggap. Istana dan kolam mandi di rumah Samy harganya melebihi keringat beratus kaum Tamil yang membanting tulang pagi dan petang. Belum lagi aset peribadi, keluarga dan kroninya.

Ketua UMNO bahagian Chua, apa khabar ? Menjilat dan menghunus keris biarlah bertempat. Takkanlah kes zina, arak, bunuh, rogol, rasuah, seks dan sebagainya menjadi agenda perjuangan UMNO Hadhari.

Maruah Chua Soi Lek adalah 'lebih tinggi' dari anda dan bekas Ketua Menteri anda yang terpalit dengan isu merogol puteri sebangsamu. Entah ia entah tidak, tapi itulah yang menjadi cakap-cakap anak kampung yang bertamadun.

Chua meninggalkan politik Malaysia sebagai seorang pengamal demokrasi dan bukan pengamal Hadhari. Kesilapannya diperbetulkan dengan permohonan maaf dan meninggalkan tanggungjawabnya secara 'anak jantan'.

Ia tidak menegakkan benang yang basah. Lebih baik dari mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan wanita Monggolia. Lebih baik dari mereka yang dikaitkan dengan isu 'cucu kepada nenek Pendek'. Lebih baik dari mereka yang merompak harta negara. Lebih baik dari mereka yang menyelamatkan perasuah, perogol, pengkhianat negara dan penderhaka kepada rakyat.

Pengamal Hadhari mengaut keuntungan untuk diri sendiri, anak, menantu, kenalan, kroni, dan suku sakat.

Mereka membiarkan agama dan bangsa djadikan batu loncatan memenuhi keinginan hawa nafsu.
"Biar pecah diperut jangan pecah dimulut".

Tuesday, January 1, 2008

Drama MCA, Chua akan dikorbankan

Akhirnya teka-teki yang mengaitkan video seks di Johor dengan seorang ahli MCA yang juga menteri dalam kabinet Abdullah Badawi diakukan.

Chua Soi Lek, Menteri Kesihatan Malaysia tidak seperti menteri-menteri dalam UMNO dan MIC . Ia akhirnya terpaksa membuat pengakuan terbuka bahawa beliaulah orangnya yang berpasangan dengan "kawan'nya.

Semua manusia melakukan kesilapan. Itulah sebabnya isteri dan anak-anak telah memaafkan Chua dan masih menerimanya sebagai ketua keluarga.

Biarlah Chua sebagai seorang yang bukan Islam mempertahankan tindakannya itu. Biarlah dia berusaha membebaskan dirinya mungkin dengan keampunan agamanya. Itu adalah haknya.

Walau apapun, beliau tidak dapat lari dari tanggungjawabnya sebagai salah seorang pemimpin di negara timur.

Apa yang menghairankan kita adalah gelagat beberapa pemimpin UMNO termasuk Ketua UMNO Bahagian Chua sendiri yang begitu bersemangat mempertahankan Chua.

Apakah nilai yang diambilkira oleh kepimpinan UMNO bahagian berkenaan ?

Budaya mengatasi hukum atau hukum mengatasi adat ?

Pada saya, sudah tentu dan biar sikap dan tindakan Chua itu dipuji oleh pendokong demokrasi. Bukan sahaja ia mengaku perbuatannya yang dikira melanggar tatasusila kebudayaan timur, malah ia memohon maaf kepada keluarga dan berjuta rakyat Malaysia.

Cumanya, ia masih ingin mengekalkan jawatannya dalam kepimpinan negara . Alasannya adalah sama sahaja seperti yang sering diberikan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang lain. Iaitu perlantikan mereka dilakukan oleh Perdana Menteri walaupun rakyat yang mengundi mereka. Jadi, selagi PM mahu, mereka akan kekal.

Apakah PM Abdullah akan mengekalkan Chua ? Pilihanraya sudah semakin hampir. Abdullah sudah tentu tidak mahu kelihatan terpalit dengan ‘drama MCA’ itu.

Walaupun Abdullah mempamerkan dirinya terbaik dan mendapat nama sebagai cucu ulama, namun rakyat sudah hilang kepercayaan kepadanya. Abdullah sedar akan perkara ini. Abdullah bikin tak serupa cakap.

Pastinya Abdullah akan cuba mempamer dan menyakinkan rakyat sekali lagi bahawa dia adalah yang terbaik. Pertama kerana pilihanraya sudah semakin dekat. Kedua, biar ia mengorbankan Chua yang memang tidak berapa disenangi oleh beberapa kumpulan dalam MCA.

Ketiga, jika Chua diarahkan meletakkan jawatan, penggantinya akan diisi dalam waktu terdekat. Keempat, video ‘aksi’dan pengakuannya sudah membuatkan rakyat marasakan Chua sepatutnya dihukum. Kelima, PM akan menggunakan alasan bahawa rakyat sudah tahu dan sesuatu perlu dilakukan. Sudah terang lagi bersuloh.

Puas hati PM dan puas hati sekerat puak dalam MCA tidak timbul.

Nilai-nilai kerohanian sudah berpisah dari jasad. Ibarat singa dan harimau yang dipertontonkan bukan di zoo, tetapi di muzium-muzium.

MCA berat melepaskan Chua. Abdullah pun begitu. Tetapi Abdullah mesti kelihatan bersih kerana pilihanraya.

Inilah demokrasi ala Malaysia. Semuanya bergantung kepada PM. PM menyelamatkan kabinet dan kroninya, dan mereka pula menyelamatkan PM.

Dalam hal ini, jalan tengahnya ialah Chua mesti bersedia untuk dikorban dan di'muzium'kan oleh Abdullah demi untuk 'pilihanraya'.

Chua sepatutnya pergi biar apapun alasan dia dan BN.