Amanah Saham Kedah Tak Berbaloi
Sampai Bila Lagi ?
Amanah Saham Kedah (ASK) milik penuh Permodalan Kedah Berhad. Tabung ASK dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed pada 27 Februari 1995. Matlamat asal penubuhan tabung ini adalah untuk meningkatkan ekonomi Bumiputra , meningkatkan tabungan, memberikan peluang kepada Bumiputra agar turut serta dalam pasaran modal dan memberikan peluang kepada pelabur berkenaan menikmati agihan kekayaan negeri secara adil dan saksama.
Saya masih teringat ketika di awal pelancarannya dihebohkan bahawa ASK adalah saham kerajaan, dijamin dan pelaburnya tidak perlu bimbang. Disinonimkan pula dengan Permodalan Nasional Berhad.
Setakat ini, sejumlah 27,448 orang telah membuat pelaburan dengan jumlah 155,000,000 unit.Pada tahun pertama, agihan dividennya adala 12%. Tahun kedua 14%, tahun ketiga 12.5% dan pada tahun keempat adalah 5%. Dua tahun yang lalu 4.5% dan selepas itu 2%. Apakah kadar dividen bagi tahun berakhir 2006 pula?
Nampaknya ASK tidak menunjukkan masa hadapan yang cerah. Semakin lama, semakin bercelaru pulangannya.
Jika dilihat keputusan Kerajaan Negeri Selangor dan Johor yang rata-rata pelaburnya dikatakan mempunyai tahap pelajaran yang tinggi dan tahap pengetahuan yang agak baik tentang saham berbanding dengan pelabur Kedah yang kebanyakkannya dikatakan adalah dari kalangan petani, penoreh, nelayan dan orang biasa, maka tindakan ASK adalah lebih kepada bertahan dan undur. Tindakan Selangor melalui Amanah Saham Selangor (ASAS) yang sanggup membeli semula saham pelabur dengan harga asal merupakan satu langkah yang bijak.
Para pelabur dibenarkan menjual semula unit saham mereka kepada kerajaan. Samada kerajaaan menutup saham tersebut atau membuat apa sahaja dengannya selepas itu tidak lagi akan menjadi hal kepada ‘pelabur malang di Kedah”.
Kerajaan Negeri Kedah sepatutnya mencontohi ASAS. Jangan dijadikan pelabur sebagai batu loncatan. Ramai daripada mereka yang melabur dengan meminjam wang dari institusi kewangan selain yang menggunakan wang jualan padi dan hasil torehan.
Saya mengesyorkan Kerajaan Negeri Kedah agar membeli semula unit pelaburan pada kadar ‘dollar to dollar’ dan membubarkan sahaja dana amanah . Apa guna kita membiayai gaji para Pengurus, Lembaga Pengarah dan kakitangan yang ramai serta bayaran utiliti dengan kadar beratus ribu ringgit setahun sedangkan orang kampung menggigit jari?
Indeks Komposit (IK) pada tahun 1997 adalah di sekitar 1250 mata. Pulangan dividen pada ketika itu adalah diantara 12%-14%. Harga seunit saham pula berada di paras RM0.96 - RM1.00. Kini, IK kembali ke paras 1250 mata tetapi seunit saham masih berada di paras RM0.33 sen. Apa sudah jadi ? 2% lagikah dividen tahun ini ?
Cekapkah ? Untungkah ?
Kata orang Kedah, 'tak berbaloi".
1 comment:
Habis duit pelabur dibaham harimau. Tiada peruntukkan undang-undangkah untuk dapatkan balik duit tersebut ?
Post a Comment