Sudah Lama Buat Kerja Ini
Saya teringat beberapa tahun yang lalu bilamana anak saya minta dibelikan Ribena. Saya memberitahunya lebih baik makan buah sunkist, kiwi, betik, pisang dan sebagainya. Saya sangsi dengan kandungan yang seringkali di labelkan oleh syarikat multinasional. Nah, ini berita baru mengenainya.
Ribena didenda dakwa mengandungi vitamin C
WELLINGTON 27 Mac – Pengeluar produk kesihatan antarabangsa, GlaxoSmithKline hari ini didenda RM546,000 (NZ$217,000) kerana iklan yang mengelirukan selepas dua pelajar sains mendapati minuman kodialnya yang popular, Ribena sebenarnya tidak mengandungi vitamin C.
Syarikat multinasional itu mengaku bersalah atas 15 dakwaan menyiarkan iklan yang mengelirukan antara tahun 2002 hingga 2006.
Pengakuan itu dibuat dalam saman yang difailkan oleh sebuah badan pemerhati pengguna, Suruhanjaya Perdagangan selepas sebuah projek sains sekolah pada tahun 2004 mendedahkan dakwaan palsu tersebut.
Ribena telah lama dijual sebagai minuman kesihatan berdasarkan iklan yang mendakwa jus buah beri itu mengandungi lebih banyak vitamin C daripada jus oren.
Iklan GlaxoSmithKline di negara ini mendakwa jus Ribena yang sedia diminum mengandungi tujuh miligram vitamin C bagi setiap 100 mililiter.
Bagaimanapun pelajar sekolah tinggi, Anna Devathasan dan Jenny Suo yang ketika itu berusia 14 tahun mendapati Ribena hampir tidak mengandungi sebarang vitamin C selepas menguji minuman berasaskan sirap itu sebagai sebahagian projek sains mereka pada tahun 2004.
Hakim Mahkamah Daerah Auckland, Phil Gittos mendenda GlaxoSmithKline dan mengarahkan syarikat itu untuk membetulkan iklannya selain menyiarkan mesej berkaitan di laman webnya. Kedua-dua pelajar terbabit turut hadir di mahkamah bagi mendengar keputusan tersebut.
"Kami berasa agak bangga dan begitu teruja. Sekiranya kami tidak melakukan ujian sains itu tiga tahun lalu, Ribena mungkin dipromosikan selama-lamanya sebagai kaya dengan khasiat vitamin C," kata Devathasan kepada National Radio.
Devathasan berpendapat denda yang dikenakan sepatutnya lebih tinggi kerana GlaxoSmithKline adalah sebuah syarikat yang mengaut keuntungan berbilion dolar.
Pengerusi Suruhanjaya Perdagangan, Paula Rebstock menyifatkan kedua-dua remaja itu sebagai sumber inspirasi sebenar kepada semua orang di suruhanjaya itu.
– AP
Lain orang lain pula pandangannya.
No comments:
Post a Comment