Friday, January 22, 2010

Kenapa Rumah Orang Tua ? (2)

[Sambungan dari: Kenapa Rumah Orang Tua?]

Di awal penubuhan, kita dapat melihat bagaimana keprihatinan badan-badan kebajikan dan persatuan-persatuan akhlak Cina dan India mengembangkan idea 'kebajikan' sehingga adanya terlalu banyak rumah orang tua.


Pada masa yang sama kerajaan mengambil kira nilai-nilai penyanyang dan bertimbang rasa serta bersikap bertanggungjawab mengendalikan salah satu dari masalah sosial ini dengan pembinaan Rumah Seri Kenangan (rumah perlindungan orang tua).

Mengikut takrifan yang dibuat oleh World Assembly On Ageing pada tahun 1982 di Vienna, wargatua di Malaysia ditakrifkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Namun pada hari ini dapatan kajian menunjukkan majoriti penduduk Malaysia pada tahun 1990 adalah muda. Cuma 6.2% adalah yang menjangkau usia 60-an.

Adalah dijangkakan penduduk berusia 60 tahun ke atas akan mencapai jumlah sekali ganda pada tahun 2020.

Dasar Warga Tua Kebangsaan menggariskan beberapa rukun bagi memastikan keharmonian dan hak warga tua mendapat tempat yang sewajarnya.

Diantara lainnya ialah ;
  • kehormatan dan martabat diri
  • keupayaan berdikari
  • penyertaan, penjagaan dan perlindungan
  • penyelidikan dan pembangunan
  • pekerjaan dan penyertaan dalam masyarakat
  • riadah, pengangkutan, media, perumahan, sistem kesihatan dan keselamatan
Ayat 14 Surah Luqman bermaksud, "kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya".

Jika diawal adanya rumah orang tua, kebanyakkan penghuninya adalah kaum Cina dan India tetapi sejak kebelakangan ini, banyak permohonan daripada orang Melayu dan Islam mula mencurah-curah.

Sesuatu perlu dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dalam menangani isu ini. Adalah dirasakan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan NGO sepatutnya balik semula kepada objektif asal penubuhan rumah perlindungan untuk orang tua.

Banyak faktor asal sudah diabaikan, diantaranya ;
  • Sudah ada penghuni di bawah usia 60 tahun diterima masuk ke rumah orang tua
  • Penghuni yang ada anak ramai dan berkeluarga, juga sudah mudah masuk ke rumah orang tua
  • Mereka yang ada pendapatan dan boleh hidup selesa di luar juga diterima masuk
Pada hemat saya, masalah kesihatan sahaja boleh dipertimbangkan sebagai kelonggaran syarat samada kesihatan penjaga atau orang yang dijaga. Itupun difahamkan sudah ada Rumah Pesakit Melarat bagi golongan pesakit seperti itu.

Sudah sampai masanya, kerajaan perlu fikir semasak-masaknya dan membuat keputusan samada mahu mewujudkan negara kebajikan atau mahu rakyatnya berdikari dalam hal hak kasih sayang dan tanggungjawab terhadap keluarga.

Di Singapura, anak-anak yang menempatkan ibubapa di rumah orang tua diminta membuat bayaran kepada institusi perlindungan berkenaan.

Bagi saya, ini adalah kaedah terbaik yang ada buat masa ini untuk menangani gejala yang semakin menjadi-jadi. Tidak kira samada bayaran dibuat melalui cara sukarela atau paksaan (peraturan atau perintah mahkamah).

Generasi sekarang bukanlah generasi pendatang seperti dahulu. Mana ada orang tua di Malaysia lebih-lebih lagi kaum pribumi yang tidak mempunyai keluarga kecualilah generasi awal orang Cina dan India yang tinggal beberapa kerat sahaja.

Dirasakan faktor tekanan dan persaingan politik telah membuatkan syarat kemasukan ke rumah orang tua sudah "dilonggar-longgarkan".

Jika fenomena ini dibiarkan berterusan, tidak mustahil satu hari nanti, semua warga Malaysia 50 tahun ke atas boleh menjadi ahli Rumah Orang Tua di Malaysia.

No comments: