Rakyat Malaysia bukanlah cerdik sangat. Apabila harga minyak naik, bising satu negara. Kita kena faham, harga minyak dinaikkan apabila ada peningkatan dalam kos pengeluaran dan kos jualan petroleum di seluruh dunia.
Apa yang Abdullah Ahmad Perdana Menteri Malaysia lakukan adalah yang terbaik. Bukankah dia cucu ulama. Bukankah dia pemimpin negara. Dia mendapat undi majoriti penduduk Kepala Batas. Dia tahu apa yang terbaik untuk rakyat dan keluarganya.
Dia wajar membandingkan harga minyak di Malaysia dengan Thailand dan Singapura. Dua negara ini bukan pengeluar minyak berbanding Malaysia. Kos perkhidmatan naik di negara pengeluar minyak. Thailand dan Singapura membeli sahaja. Jadi, harga minyak perlu dinaikkan di Malaysia.
Berkaitan gaji di Singapura, pencuci tandas di sana mendapat RM2500.00 sebulan. Di Malaysia, PTD dan pekerja professionalnya mendapat gaji sebanyak itu. Tanyalah orang Permatang Manggis, Tasik Gelugor, Lahar Yooi dan Kepala Batas.
Apa ?
Ada yang tidak pernah ke Singapurapun. Mereka tidak tahu? Tidak mengapa. Kita tunggu rombongan Cik Kiah anjuran Reezal Merican.
Ini kebijaksanaan pemimpin UMNO dan BN mengurus negara. Rakyat Malaysia bukanlah cerdik sangat. Cuti-cuti Malaysia pun belum kesampaian hajat. Pemimpin Malaysia sudah ‘cuti-cuti dunia’. Mereka tahulah apa yang terbaik.
Satu pertiga gaji bulanan rakyat Britain boleh digunakan untuk membeli sebuah komputer. Manakala tiga bulan gaji kebanyakkan rakyat Malaysia dapat membeli sebuah komputer. Rakyat Malaysia yang bengong apa tahu.
Pendapatan perkapita rakyat Malaysia rendah berbanding negara Singapura, England dan sebagainya. Bagi pemimpin kita sekarang, dalam hal ini yang terendah itulah yang terbaik.
Jika hendak diberikan contoh atau dibandingkan sesama negara, ikutlah cara dan kebajikasanaan pemimpin Malaysia.
Dari Bukit Kayu Hitam ke Kuala Lumpur, tolnya mencecah RM60.00 satu hala. Dari Danok Thailand ke Pengkalan Kubor Kelantan, lebuhrayanya percuma. Ini jangan dijadikan contoh. Pemimpin Thailand tidak cekap menguruskan perkhidmatan awamnya.
Projek lebuhraya Malaysia siapa yang menguasainya? Bukankah pemimpin dan kroni mereka? Kenalah untung lebih. Bukankah mereka yang memerah otak untuk kabaikkan rakyat Malaysia yang dungu?
Di Singapura pengangkutan awamnya bermutu. Di Malaysia RM4 billion disimpan untuk memperbaiki pengangkutan awamnya dan wang tersebut masih disimpan. Inilah bijaknya Abdullah dan kabinetnya yang cekap itu.
Di Thailand, sekali sahaja perlu dibayar untuk mengambil lesen memandu. Di Malaysia, tiap-tiap tahun kita membayar untuk tujuan itu. Bukankah kerajaan BN pandai menabung untuk kestabilan negara.
Di Brunei, kerajaannya tidaklah secerdik kerajaan Abdullah kaki lena. Cukai Malaysia dikutip setiap tahun berbanding negara Brunei hanya sekali sahaja.
Naiknya harga petroleum di Malaysia bukan bererti kerajaan akan menaikkan tambang bas dan pengangkutan awamnya kerana syarikat-syarikat di Malaysia sudah terlebih dahulu menaikkan harga sehingga lima puluh peratus. Mereka tahu kerajaaan Abdullah kerajaan yang tidur lena. Tidak dapat berbuat apa-apa.
Siapa kata harga barang makanan dan harga barang pengguna akan naik. Di Malaysia, setiap kali harga minyak naik, rakyatnya seronok kerana harga barangannya turun mendadak.
Kerajaan masih meneriakkan, “kita tidak akan membenarkan kenaikan harga”. Orang kampung pula menangis menderita, harga barang sudah dipestakan. Bukankah hebat kerajaan sedia ada?
Rakyat Malaysia tidak pandai berekonomi. Takkanlah Petronas sahaja yang perlu membayar subsidi. Tun Mahathir, Anwar Ibrahim, Ustaz Abd Hadi Awang dan Lim Kit Siang bukannya tahu pasaran globalisasi.
Itu sebabnya ada penasihat khas di tingkat empat dan ketua-ketua media yang berpendidikan gred tiga MCE.
Mereka memberitahu rakyat agar mengubah gaya hidup. Ikut cara Rosmah Najib. Dulu membeli barang seorang diri. Sekarang, seperti dibangkitkan di Parlimen menggunakan segala jentera kerajaan Malaysia di luar negara untuk bershopping. Inilah kepandaian mengubah gaya hidup.
Sesuaikah menteri, VIP, Tan Sri dan Datuk di Malaysia menggunakan NGV. Janganlah susahkan mereka. NGV hanya sesuai untuk orang kampung di Jerlun, Cerok Tok Kun dan di Keroh. Itupun apabila ada tangki gas NGVnya di sana. Tunggulah berbelas tahun lagi.
Menteri kita berkhidmat untuk rakyat Malaysia. Lima puluh tahun merdeka, huru-hara dibuatnya Malaysia. Bukankah itupun kerja namanya.
Petani, penternak, nelayan, mahasiswa dan orang kampung serta kakitangan kerajaan di Malaysia perlu berjimat cermat. Ubahlah gaya hidup. Jangan pandai mengadu.
Berangan-angan untuk melakukan demonstrasi ? Memang air dan gas water-canon FRU dibeli untuk membelasah rakyat Malaysia. Mana ada menteri dan VIP yang pernah disemburkan gas pemedih mata. Dipersilakan.
Apabila sudah memilih BN, kena ikut arahan mereka. Ubah gaya hidup. Do what I say, don’t do what I do. Itupun tak faham. Susahlah.. Jadilah seperti mereka yang apple polish. Usung tilam di sana-sini. Boleh sambung kontrak bertahun lagi.
Bulan depan, 1 Julai - kita berseronok pula dengan kenaikkan tarif elektrik. Harga gula pun dah naik. Baguslah . Kerajaan menjaga rakyatnya supaya tidak terkena kencing manis. Karborhidrat yang tinggi di dalam beras tidak elok untuk kesihatan. Naikkan harga beras. Makan segenggam nasi sahaja.
Menteri Kesihatan Malaysia tentu gembira. Seluruh wakil rakyat BN berdiam diri dengan kenaikan harga minyak. Itu tandanya mereka setuju di atas penderitaan pengundi.
Langkah bijak BN menjaga kebajikan rakyatnya. Sebelum pilihanraya, Najib memberitahu harga minyak tidak akan naik tahun ini. Apa boleh buat. Najib bukan berlidah biawak . Naik sikit sahaja. Itupun terpaksa. Tahun 2004 RM1.37, 2005 RM1.62, 2006 RM1.92 dan 2008 RM2.70 sahaja. Secara keseluruhannya baru naik RM1.33 sen.
Bukankah Malaysia mewah. Pendapatan Perdana Menteri RM60,000.00 sebulan. Gaji Shahrizat RM33,000.00 sebulan. Gaji Hamid Othman RM24,000.00 sebulan.
Rakyat Malaysia tidak perlu memprotes. Tak payahlah tunggu gaji minima RM900.00 sebulan. Nak gaji tinggi, jadilah menteri atau penasihat menteri. Tapi kena aktif UMNOlah.
Bukankah pemimpin BN dilantik oleh orang kampung yang bodoh. Sebagai pemimpin, kini tahulah apa yang dibuat. Jangan jadi seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul, sudahlah.
Dahulu pada zaman Jepun, rakyat Malaysia dipaksa memakan ubi kayu. Kini, kita kembali semula seperti apa yang datuk nenek kita amalkan. Ubi kayu zaman tu tidak berkarbohidrat tinggi.
Jangan menjenguk dapur pak-pak menteri. Mereka makan ubi keledek, ikan darat dan garam kicap sahaja.
Tanah di kampung masih luas, tanamlah ubi kayu. Tanam dalam pasu, tanam di atas bumbung dan tanamlah di mana-mana.
Padi tidak perlu ditanam. Kita impot sahaja beras dari Vietnam dan Thailand. Pemimpin kita tidak makan beras. Selalu keluar negara. Mereka makan makanan barat dan Jepun.
Tanah di kawasan bandar kita jadikan kawasan perindustrian. Susah-susah pemimpin mencari pelabur luar negara. Simpanlah untuk mereka.
Ada yang kata harga minyak di Jordan, Venezuela , Mesir dan lain-lain negara sangat rendah. Kerajaan negara itu sudah tentu tidak pandai mengurus ekonomi. Jika masih tidak puas hati, pergi dan tinggal di sana. Kan senang!
Kerajaan BN pandai. Dia tidak mahu sebut langsung berkaitan cukai pendapatan. Pendapatan tinggi perlu membayar cukai yang tinggi. Orang kampung apa tahu. Menteri, Tan Sri, Datuk dan kroni banyak duit. Mereka perlu simpan untuk membantu orang ramai. Apa guna membayar cukai pendapatan.
Seronoknya di bawah kepimpinan UMNO dan BN. Hujan emas di negeri orang, baik lagi hujan bom atom di negeri sendiri.