Apakah yang tiba-tiba mengejutkan BPR dari lena mereka. Adakah sebelum pilihanraya ke 12 ini, tangan-tangan ghaib sudah bersedia untuk mengalihkan isu sebenar yang lebih kronik ? Isu yang rakyat dan negara sedang hadapi.
Saya tidak menyebelahi kakitangan kerajaan yang sedang dikejar BPR selepas pendedahan penyelewengan yang dilakukan mereka oleh Ketua Audit Negara. Namun, mustahil tidak ada seorangpun Ketua Setiausaha kementerian dan Menteri kementerian tertentu yang terlibat dalam skandal seperti yang didedahkan.
Seperti kata Ezam Mohd Noor, sekurang-kurangnya seorang Menteri Besar dan seorang menteri sepatutnya sudah diambil tindakan oleh BPR walaupun pada hemat Ezam mereka empat orang kesemuanya.
Perhimpunan Agong UMNO yang sedang berlangsung sekarang ini menjadikan kakitangan kerajaan sebagai kambing hitam. Apa tidaknya ? Pembahas-pembahas politik UMNO yang menganggap diri mereka maksum menghentam kakitangan pentadbiran awam dari pelbagai sudut setelah kaki, tangan dan mulut kesemua pentadbir awam diikat.
Ramai yang beranggapan, segelintir pembodek-pembodek parti dari kalangan kakitangan awam juga terpalit dengan lontaran isu pembahas-pembahas yang ‘bersih’ ini.
Di Malaysia, hanya dua golongan sahaja yang ada kekebalan dari segi undang-undang 'rimbanya'. Pertama, poitikus yang memerintah dan kroni mereka. Kedua, wartawan media perdana yang membodek parti pemerintah.
Politikus di Malaysia seolah-olah sudah tidak lagi mengenal jalan kebenaran. Bagi mereka matlamat boleh menghalalkan cara. Golongan kedua, iaitu wartawan media perdana yang saya kira sebagai ‘tikus’ kerana berani menudung sajikan fakta sebenar isu-isu semasa demi mengejar sesuap nasi untuk diri sendiri dan untuk anak isteri mereka.
Bomoh-bomoh politik ini yang cuba mengalihkan isu sebenar kepada pihak lain sudah tentu sedar akan tindakan tidak bertamadun mereka Baik dari segi agama dan juga moral.
Sesungguhnya Malaysia adalah sebuah negara yang kaya. Namun, kekayaan negara sedang di 'ratah' dan dinikmati oleh segelintir orang sahaja.
Pagar-pagar keselamatan yang diharapkan untuk menjaga kemakmuran rakyat seperti PDRM dan BPR sudah gagal berfungsi kerana sistem dalamannya sendiri yang sedang bermasalah.
Untuk mengubah dan menggantikan sistem sediada, rakyat terutama sekali orang Melayu penyokong parti pemerintah perlu mewujud dan membangkitkan kesedaran minda demi mewarnakan semula hasrat pembangunan, keharmonian dan pengisian kemerdekaan.
Kita ambil sahaja satu masalah diantara banyak masalah yang sedang mengelilingi dan menekan setiap penduduk di bumi Malaysia. Masalah ini mengakibatkan keresahan dan kesengsaraan kepada masyarakat. Faktor itu adalah 'cengkaman' hasil kenaikkan harga barang-barang yang mengakibatkan meningkatnya kos sara hidup. Nilai pendapatan harian, bulanan dan tahunan semakin mengecut.
Adakah sehelai batik, sekampit beras, sekilo gula dan sekali lawatan sambil belajar dapat menggantikan cengkaman yang kian menghimpit?
Berbanding dengan gaji Pak Lah yang hampir mencecah RM60,000.00 sebulan. Bandingkan gaji menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, Menteri Besar dan sebagainya yang berpuloh ribu sebulan. Ini termasuk elaun-elaun lain termasuk elaun pengerusi di sana-sini. Apa yang mereka tahu dan apa yang mereka dapat merasakan tentang kenaikkan kos kehidupan rakyat biasa ?
Memang terkaman ekoran terkejutnya singa yang sedang tidur tidak dapat dielakkan. Tetapi , adakah perlu membiarkan mereka yang mengejutkan singa tidur itu terlepas begitu sahaja?
Atau, mereka ingin melihat anai-anai memamah sistem negara ? Seperti dikeritnya kaki kerusi Nabi Allah Sulaiman.
Untuk berapa lama lagi perlu kita tunggu ?
Pilihanraya sudah dekat. Dakwaan UMNO bahawa hanya konsep Barisan Nasional sahaja dapat memakmurkan negara adalah karut. Kenapa agaknya Amerika, India, Russia, Thailand, Singapura, England dan lain-lain rakyat dan negara di dunia ini boleh hidup tanpa UMNO dan Barisan Nasional ? Adakah wujud UMNO dan Barisan Nasional di sana ?
Jika adapun sistem seperti itu dahulu, ianya telah dimakan anai-anai dan sudah tiada nisannya. Hanya Malaysia dikira lubok terakhir sistem seperti itu.
Perlukah kita membiarkan sahaja semua ini berlaku. Buatlah apapun, bagi ahli kepada parti politik pemerintah dan kroni mereka serta pendokong media arus perdana nampaknya tidak memberikan apa-apa kesan. Bagi PDRM dan BPR pula, apakan daya untuk menjeling apatah lagi untuk bertindak terhadap anai-anai sejenis dengannya.
No comments:
Post a Comment