Saturday, March 31, 2007

Keputeraan Rasulullah s.a.w

"Tercipta satu lebaran sejarah di tanah suci Kota Makkah, hari yang mulia penuh syahada bermula lah sebuah kisah. Malam Isnin subuh yang indah 12 Rabiulawal yang cerah, 20 April Tahun Gajah, lahirlah zuriat yang syahada. Abdullah nama bapanya, Siti Aminah ibunya, riang gembira menyambut dia....." antara kalimah yang dapat saya rungkaikan di sini. Pentingnya - masej kepada nasyid yang disampaikan .

Agak keseronokkan dan letih juga melihat perbarisan pada pagi ini mengingatkan kita seorang manusia yang luarbiasa dilahirkan hampir 1500 tahun yang lalu, dingati sejarah dan ummat bukan sahaja kepada ajaran yang disampaikan malah sebagai insan 'qudwatul hasanah'

Wednesday, March 28, 2007

Sudah Lama Buat Kerja Ini

Saya teringat beberapa tahun yang lalu bilamana anak saya minta dibelikan Ribena. Saya memberitahunya lebih baik makan buah sunkist, kiwi, betik, pisang dan sebagainya. Saya sangsi dengan kandungan yang seringkali di labelkan oleh syarikat multinasional. Nah, ini berita baru mengenainya.

Ribena didenda dakwa mengandungi vitamin C

WELLINGTON 27 Mac – Pengeluar produk kesihatan antarabangsa, GlaxoSmithKline hari ini didenda RM546,000 (NZ$217,000) kerana iklan yang mengelirukan selepas dua pelajar sains mendapati minuman kodialnya yang popular, Ribena sebenarnya tidak mengandungi vitamin C.

Syarikat multinasional itu mengaku bersalah atas 15 dakwaan menyiarkan iklan yang mengelirukan antara tahun 2002 hingga 2006.

Pengakuan itu dibuat dalam saman yang difailkan oleh sebuah badan pemerhati pengguna, Suruhanjaya Perdagangan selepas sebuah projek sains sekolah pada tahun 2004 mendedahkan dakwaan palsu tersebut.

Ribena telah lama dijual sebagai minuman kesihatan berdasarkan iklan yang mendakwa jus buah beri itu mengandungi lebih banyak vitamin C daripada jus oren.

Iklan GlaxoSmithKline di negara ini mendakwa jus Ribena yang sedia diminum mengandungi tujuh miligram vitamin C bagi setiap 100 mililiter.

Bagaimanapun pelajar sekolah tinggi, Anna Devathasan dan Jenny Suo yang ketika itu berusia 14 tahun mendapati Ribena hampir tidak mengandungi sebarang vitamin C selepas menguji minuman berasaskan sirap itu sebagai sebahagian projek sains mereka pada tahun 2004.

Hakim Mahkamah Daerah Auckland, Phil Gittos mendenda GlaxoSmithKline dan mengarahkan syarikat itu untuk membetulkan iklannya selain menyiarkan mesej berkaitan di laman webnya. Kedua-dua pelajar terbabit turut hadir di mahkamah bagi mendengar keputusan tersebut.

"Kami berasa agak bangga dan begitu teruja. Sekiranya kami tidak melakukan ujian sains itu tiga tahun lalu, Ribena mungkin dipromosikan selama-lamanya sebagai kaya dengan khasiat vitamin C," kata Devathasan kepada National Radio.

Devathasan berpendapat denda yang dikenakan sepatutnya lebih tinggi kerana GlaxoSmithKline adalah sebuah syarikat yang mengaut keuntungan berbilion dolar.

Pengerusi Suruhanjaya Perdagangan, Paula Rebstock menyifatkan kedua-dua remaja itu sebagai sumber inspirasi sebenar kepada semua orang di suruhanjaya itu.

– AP

Lain orang lain pula pandangannya.

Tuesday, March 27, 2007

Yuran Sekolah Atau Yuran PIBG Terlalu Tinggi

Setiap awal tahun ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar sekolah di seluruh Malaysia seperti phobia dengan yuran yang bakal dikenakan. Ramai yang mengajukan masalah mereka melalui media namun kurang mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kementerian termasuk menterinya sendiri.

Timbalan Menteri Pelajaran, YB Noh Omar pada hari ini menyalahkan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dalam isu yuran tidak seragam ini . Kata beliau kerajaan hanya menentukan tiga jenis yuran sahaja iaitu Yuran Khas, Yuran Tambahan dan Yuran Asrama.

Bermaksud, selain dari tiga jenis yuran tersebut, termasuklah Yuran PIBG, Komputer, Kelas Tambahan, Alat Tulis, Yuran Ceria, Yuran Kertas Ujian, Yuran Majalah, Yuran MSSM, Yuran MSSD, Yuran Sekolah, Yuran Kebersihan, Yuran Pelapis, Yuran Gerko dan berbelas jenis yuran lain bukanlah termasuk dalam yuran yang ditentukan kerajaan.
Jelas Noh lagi, yuran tahunan bagi Darjah 1-Darjah 5 ialah RM31.50. Bagi Darjah 6 ialah RM33.50. Manakala bagi Tingkatan 1,2,4 dan 6 Bawah ialah RM39.00. Bagi Tingkatan Tiga ialah RM49.00, Tingkatan 5 RM52.00 dan Tingkatan 6 Atas ialah RM54.00.

Ibu bapa di kampung yang dibebani dengan kenaikkan harga barang harian gelisah dengan kenaikkan yuran yang di luar kawalan kementerian berkenaan. Adakalanya pertanyaan demi pertanyaan guru kelas di hadapan rakan-rakan membuatkan pelajar enggan ke sekolah.

“Orang politik apa tahu. Mereka sudah ada banyak projek di sana-sini. PIBG kini dianggotai oleh puak yang tiada masalah kewangan” merungut Mak Cik Habsah yang ditemui di Pandan Jaya.

“Tengoklah dapur kami. Kadangkala terpaksa jimat bersungguh-sungguh. Saya mempunyai enam orang anak. Seorang sampai RM100.00 lebih. Mana nak cari” kata Pak Hassan seorang buruh kasar di Mak Mandin Pulau Pinang.

“Ini tak termasuk duit beli buku tulis, alat tulis, pelapik meja guru dan sebagainya” jelas Ananda dari Alor Setar Kedah.

Kepada siapa lagi hendak mengadu jika bukan kepada wakil rakyat ? Setiap awal tahun masalah yang sama ? Sampai bila lagi ?

Saturday, March 24, 2007

Peristiwa Penting Dalam Bulan Rabiu'l Awal

Sirah mengkisahkan peristiwa-peristiwa penting di dalam bulan Rabiul Awal.

Bulan ketiga dalam kalendar Hijriah. Juga bulan pertama musim berbunga dan berbuah di negara-negara Arab.

Friday, March 23, 2007

Perhimpunan Awam Yang Selamat

Teringat saya ketika sedang belajar di ITM (ketika itu) . Sabjek undang-undangnya menyeronokkan. Tambahan pula ketika itu berlaku krisis perlembagaan melibatkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir B Mohamed dan Majlis Raja-Raja.

Masa berlalu, nama Hakim KC Vohrah memang hebat di kalangan pelajar-pelajar sehingga ada pelajar Islam menggelarkan beliau sebagai "ustaz" . Saya tidak bercadang mengulas gelaran yang diberikan pelajar kepada beliau. Namun nama tersebut memang hebat.

Di kalangan pengamal undang-undang ia satu nama yang sentiasa mencerminkan keadilan.

Terbaru, inkuiri awam peristiwa "demo berdarah" di KLCC pada 28 Mei 2006 yang lalu membuahkan bahawa 'ada kekasaran berlebihan yang telah dilakukan oleh pihak polis'.

Apa yang menarik minat saya ialah, cetusan idea pengerusi inkuiri awamnya - Hakim KC Vohrah. Sekali lagi beliau menggariskan apa yang sepatutnya perlu ada dalam perhimpunan awam seperti itu. Beliau telah mencadangkan supaya permit polis tidak diperlukan dalam perhimpunan awam . Malah Hakim berkenaan mencadangkan juga supaya dihapuskan seksyen 27A Akta Polis 1967 yang menyatakan bahawa orang awam diperlukan mendapat permit berkenaan.

Umum berpendapat selagi sesuatu perhimpunan tidak mendatangkan kemudaratan samada kepada pelaku, orang ramai, harta awam dan negara, tiada sebab niat dan perasaan mereka ditekan. Dari segi psikologi tekanan seperti itu lebih merbahaya dari ledakkan gunung berapi jika sekiranya ianya meletup.

Wajar kiranya cadangan ini dipertimbang dan diluluskan oleh pihak kerajaan Malaysia selaras dengan perkara 10 Perlembagaan negara.

Tuesday, March 20, 2007

Kadar Jenayah Kanak-Kanak Meningkat

Apakah Akta Kanak-Kanak 2001 ( AKK 2001) Tidak Difungsikan ?

Beberapa tahun yang lalu AKK 2001 berkuatkuasa menggantikan Akta Mahkamah Juvana 1947. Akta baru ini telah merangkumkan tiga akta di dalam satu( 3 dalam 1) - iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1994 dan Akta Perlindungan Wanita Dan Gadis 1973.

Kejadian perlanggaran undang-undang dikalangan kanak-kanak dibawah umur 18 tahun semakin menjadi-jadi. Di antaranya mencuri motosikal, mencuri kabel, memecah masuk bangunan, dadah, mencabul kehormatan, merogol, membunuh dan pelbagai jenis kesalahan lagi.

Masyarakat mula melahirkan kebimbangan. Rumah mereka tidak selamat. Asyik-asyik diceroboh. Kenderaan masyarakat terutama sekali motosikal hilang bukan sahaja di tempat letak kenderaan, malah di pejabat, di pasaraya, di rumah dan di pelbagai tempat lagi. Perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan bahawa angkanya semakin meningkat.

Vandalisma tempat awam dan harta persendirian menjadi sasaran kanak-kanak.

Diantara faktor yang dikaitkan ialah; kedegilan kanak-kanak tanpa rasa takut, kegagalan ibubapa memberikan pengawalan yang jelas terhadap anak jagaan mereka, kanak-kanak dimanjakan datuk dan nenek, sikap kanak-kanak yang sering terlepas dengan bon jaminan, pengaruh rakan sebaya, keadaan ekonomi yang tidak menentu, kegagalan institusi pendidikan memaklumkan kadar jenayah yang meningkat di premis mereka, kepupusan nilai-nilai keluarga terdekat, kurang kesedaran siviks, kurang juga didikan keagamaan dan sebagainya.

Kes mencabul dan merogol semakin meningkat. Kegagalan pihak polis mendakwa di atas alasan tiada bukti, kegagalan kanak-kanak mengecam mangsa, ketidak cukupan saksi untuk pengesahan bahawa rogol telah berlaku, kelemahan dalam laporan perubatan di atas pelbagai sebab, kurangnya kerjasama keluarga mangsa di atas pelbagai kerenah, kurangnya bantuan proffessional dan lain-lain sebab lagi.

Nampaknya sudah sampai masanya bagi pihak JKM untuk mengubah strategi ketika berada di Mahkamah Kanak-Kanak. Syor mereka perlu mengambilkira kesusahan orang ramai, kos kerosakkan harta masyarakat dan negara, kepayahan PDRM menangkap pesalah, disamping menilai tahap ekonomi keluarga, kekerapan kanak-kanak melakukan kesalahan, keadaan kesihatan dan tahap pemikiran kanak-kanak, pandangan masyarakat dan jiran serta syor JKM selain dari bon jaminan.

Seksyen 91 AKK 2001 jelas memberikan pilihan dalam perintah mahkamah. Kebrangkalian memerintah supaya kanak-kanak diberikan jaminan bon dan melapor diri kepada pihak JKM nampaknya disalahertikan oleh kanak-kanak dan keluarga.

Lihat perangkaan tahun 2000 - 2004 ini.



Friday, March 16, 2007

PLKN: Program Peserta Wanita Tidak Sesuai

Rata-rata kaum wanita terutama sekali ibu-ibu di kampung yang ditemui menyatakan bahawa peserta wanita Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dilibatkan bersama-sama peserta lelaki seharusnya latihan mereka ditumpukan kepada program masakkan, sulaman, jahitan, kerja-kerja tangan yang lain, dandanan dan sebagainya. Kata ibu-ibu tersebut, apa guna mereka diajar panjat tali, terjun sana-sini dan lain-lain lagi. "Biarlah anak-anak kita diajar cara dan ciri-ciri kewanitaan" ujar mereka lagi.

Apapun, semua ini perlu kepada satu perancangan yang lebih teliti dan teratur agar impaknya dirasai oleh semua yang terlibat.

Wednesday, March 14, 2007

Keganasan Suami Merogol Isteri ?

Jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2002 dianggarkan 23.27 juta orang. Menurut perangkaan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia (LPPKN), 11.85 juta daripada mereka adalah lelaki manakala 11.42 juta adalah wanita. Perangkaan 2005 memaparkan jumlah penduduknya bertambah kepada 26.127 juta orang. Pertambahan sejumlah 2.857 juta orang.

Dinyatakan juga peningkatan sejumlah 1.45 juta orang bagi lelaki dan 1.41 juta orang bagi wanita untuk tempoh tiga tahun.

Menurut kajian, hampir 4 juta wanita di seluruh dunia dikasari setiap tahun . Golongan yang melakukan penderaan ini adalah termasuk suami, bekas suami, teman lelaki, kawan yang mengenali, mertua, ipar dan sebagainya.

8 Mac merupakan Hari Wanita Antarabangsa. Hari Merdeka Bagi Wanita. Hari untuk mengekang keganasan terhadap wanita.

Apa kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Shahrizat Bt Abdul Jalil. Ramai yang mencadangkan agar peruntukkan dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dipinda. Beberapa cadangan tersebut perlu diberikan sokongan.

Sepanjang 2006, sebanyak 3,264 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Malaysia. Pada tahun :
2000, 478 kes JKM (3468 PDRM)
2001-587(JKM)3102(PDRM)
2002-598(JKM)2755(PDRM)
2003-636(JKM) 2555(PDRM)
2004-560(JKM)3101(PDRM) dan
2005- tiada data(JKM) 2088(PDRM).

Namun, Ahli Jawatankuasa Cedaw dalam memberikan cadangan telah menyeru juga agar pihak kerajaan mengiktiraf kesalahan jenayah rogol membabitkan suami isteri. "Isteri" dirogol? Apa pandangan ?

Tuesday, March 13, 2007

Streamyx Terlalu Perlahan

Sudah empat hari terlalu perlahan untuk memaut mana-mana laman. Terpaksa tunggu lama dan ini menjemukan. Entah apa aktiviti TM. Atau gempa bumi lagikah ?

Thursday, March 8, 2007

Selamat Hari Wanita

Diucapkan Selamat Hari Wanita Antarabangsa kepada kaum Hawa.

Tuesday, March 6, 2007

Amanah Saham Kedah Tak Berbaloi

Sampai Bila Lagi ?

Amanah Saham Kedah (ASK) milik penuh Permodalan Kedah Berhad. Tabung ASK dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed pada 27 Februari 1995. Matlamat asal penubuhan tabung ini adalah untuk meningkatkan ekonomi Bumiputra , meningkatkan tabungan, memberikan peluang kepada Bumiputra agar turut serta dalam pasaran modal dan memberikan peluang kepada pelabur berkenaan menikmati agihan kekayaan negeri secara adil dan saksama.

Saya masih teringat ketika di awal pelancarannya dihebohkan bahawa ASK adalah saham kerajaan, dijamin dan pelaburnya tidak perlu bimbang. Disinonimkan pula dengan Permodalan Nasional Berhad.

Setakat ini, sejumlah 27,448 orang telah membuat pelaburan dengan jumlah 155,000,000 unit.Pada tahun pertama, agihan dividennya adala 12%. Tahun kedua 14%, tahun ketiga 12.5% dan pada tahun keempat adalah 5%. Dua tahun yang lalu 4.5% dan selepas itu 2%. Apakah kadar dividen bagi tahun berakhir 2006 pula?
Nampaknya ASK tidak menunjukkan masa hadapan yang cerah. Semakin lama, semakin bercelaru pulangannya.

Jika dilihat keputusan Kerajaan Negeri Selangor dan Johor yang rata-rata pelaburnya dikatakan mempunyai tahap pelajaran yang tinggi dan tahap pengetahuan yang agak baik tentang saham berbanding dengan pelabur Kedah yang kebanyakkannya dikatakan adalah dari kalangan petani, penoreh, nelayan dan orang biasa, maka tindakan ASK adalah lebih kepada bertahan dan undur. Tindakan Selangor melalui Amanah Saham Selangor (ASAS) yang sanggup membeli semula saham pelabur dengan harga asal merupakan satu langkah yang bijak.

Para pelabur dibenarkan menjual semula unit saham mereka kepada kerajaan. Samada kerajaaan menutup saham tersebut atau membuat apa sahaja dengannya selepas itu tidak lagi akan menjadi hal kepada ‘pelabur malang di Kedah”.
Kerajaan Negeri Kedah sepatutnya mencontohi ASAS. Jangan dijadikan pelabur sebagai batu loncatan. Ramai daripada mereka yang melabur dengan meminjam wang dari institusi kewangan selain yang menggunakan wang jualan padi dan hasil torehan.
Saya mengesyorkan Kerajaan Negeri Kedah agar membeli semula unit pelaburan pada kadar ‘dollar to dollar’ dan membubarkan sahaja dana amanah . Apa guna kita membiayai gaji para Pengurus, Lembaga Pengarah dan kakitangan yang ramai serta bayaran utiliti dengan kadar beratus ribu ringgit setahun sedangkan orang kampung menggigit jari?
Indeks Komposit (IK) pada tahun 1997 adalah di sekitar 1250 mata. Pulangan dividen pada ketika itu adalah diantara 12%-14%. Harga seunit saham pula berada di paras RM0.96 - RM1.00. Kini, IK kembali ke paras 1250 mata tetapi seunit saham masih berada di paras RM0.33 sen. Apa sudah jadi ? 2% lagikah dividen tahun ini ?

Cekapkah ? Untungkah ?
Kata orang Kedah, 'tak berbaloi".

Saturday, March 3, 2007

Pelajar Perempuan Dan Hubungan Seks

Mana Kajian Anda ?

Kajian pensyarah UKM berkaitan 866 pelajar perempuan yang pernah mengadakan hubungan seks ketika dibangku sekolah perlu di'terimakasih'kan. Kajian ini baru melibatkan satu negeri sahaja. Jika kesemua negeri di Malaysia dikajikan, jumlahnya diyakini lebih besar.

Samada YB Menteri atau YAB Menteri Besar menafikan, membakulsampahkan atau menyatakannya sebagai tidak berfaedah, apa yang telah mereka lakukan untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah seperti ini? Kuasa, wang dan kedudukan di tangan mereka. Apa yang sudah anda lakukan ?

Kementerian Pembangunan Wanita tidak terlibat secara langsung dengan apa-apa kajian seperti ini. Mereka banyak bergantung kepada out put yang dihasilkan oleh orang lain. Orang yang bagaiamana ?

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata "perkara ini bukan benda baru dan tiada gunanya kalau kajian demi kajian dibuat tetapi masalah ini tetap berlaku". Prof, apa yang telah institut anda lakukan selama ini ?

Jangan apabila orang yang rapat dengan kita menjadi mangsa, jari dituding berpuluh tempat.

Rosnah Dan Isu Isteri Nabi saw

Keterlanjuran Rosnah Mat Aris dalam rancangan Sensasi terbitan TV3 sepatutnya diisukan agar ianya tidak berulang. Menempelak golongan yang mempertikaikan kelaku Rosnah adalah sesuatu yang kurang wajar. Dari kacamata demokrasi pro dan kontra dibenarkan. Dalam hal akidah, sesuatu yang telah diputuskan Allah, Rasul dan Ijtima tiada polemiknya

Katakan bapa saya bernama Haris. Patutkah saya atau kawan saya berkata, "..bapa saya dalam usia nak mampus ni masih kuat..." atau dikatakan, "..bapa Hasnah, Haris, dalam usia nak mampus ni masih...".

Adat timur tidak mengajar seperti ini. Mana-mana agama di dunia juga tidak. Masyarakat bertamadun juga tidak. Apa lagi keluarga bermoral. Guru sekolah pun tidak mengajar begitu.
Semuanya tidak.

Jadi, biarlah Rosnah menyesalinya, tidak akan mengulangi lagi dan akhirnya memohon maaf. Masyarakat lain pula mengetahui bahawa perkara seperti itu tidak patut diperkata. Stesyen TV pula menerima hakikat bahawa ia lebih perlu berwaspada dan bersedia supaya isu sensitif yang menyentuh mana-mana agama tidak 'terkeudara'.

Thursday, March 1, 2007

Haruan Makan Anak ?


Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR) Dato' Seri Zulkipli Mat Nor didakwa menyalahgunakan kedudukan dan kuasa. Jika ianya benar, sudah tentu integritinya boleh dipersoalkan kerana ini bukan perkara ivdividu. Ianya melibatkan masyarakat secara keseluruhannya. Bak kata pepatah harapkan pagar, pagar makan padi.