Wednesday, July 30, 2008

Biawak dan kalajengking dalam PAS ?

Abdullah Ahmad Perdana Menteri Malaysia rupa-rupanya berjaya memerangkap dan berjaya pula memperbodohkan kepimpinan tertinggi PAS.

Isu muzakarah dan muqabalah menggembirakan Khir Toyo juga. Bukan sahaja dia, ramai ahli UMNO yang dikatakan lembam oleh PAS selama ini kerana menyokong pemimpin UMNO secara membabi buta, kini ketawa terbahak-bahak.

Terhegeh-hegeh menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa PAS merupakan sebuah parti politik yang berada pada nilai saham yang tinggi berbanding parti UMNO yang sedang menuju kepupusannya.

Saya bersetuju sangat sejak dahulu lagi bahawa kesetiaan ahli-ahli PAS adalah jitu. Mereka tidak pernah berlaih arah selama ini. Mereka taat setia kepada tok-tok guru dan ustaz-ustaz seolah-olah kata-kata dan arahan yang mereka terima adalah suruhan dan larangan seperti yang tertulis di dalam Al Quraan dan Hadis. Tidak patut dibantah. Ikhlas dalam perjuangan.

Dahulu PAS menolak asabbiyah atau parti dan kefahaman yang mementingkan perkauman. Namun tiba-tiba kepimpinan PAS mahu menjilat parti UMNO yang dilabelkan sedemikian rupa selama ini.

Parti tersebut belum berubah kefahamannya. Mereka masih tidak menerima apa yang PAS perjuangkan selama ini. Apa yang tiba-tiba menarik sangat tentang UMNO ?

Berbincang untuk menyelamatkan umat Melayu ?

Berapa ramai Melayu di dalam dan di luarUMNO menjadi rakyat kelas kedua selama ini ? Belum lagi rakyat keturunan Cina, India , Siam dan mereka di Sabah dan Sarawak.

Apakah Dasar Ekonomi Baru, rasuah, penyelewengan, royalti minyak di Terengganu, wang perkapita di Kelantan yang dirampas kerajaan persekutuan, peristiwa Memali, tangkapan di bawah ISA, Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Rahsia Rasmi, Akta Percetakkan, kebebasan akhbar dan semua penindasan yang ditunjangi UMNO selama ini telah terhapus atau telah dmaafkan oleh beberapa kerat pemimpin PAS ?

Kini ramai yang mula menganggap PAS bukan sahaja sedang membawa biawak hidup di dalam kantungnya, malah ada juga kala jengking bersama-sama beberapa pemimpin tertinggi mereka.

Kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Hj Mahfuz Omar yang memohon maaf kepada penyokong parti tersebut seharusnya diperhalusi.

Jika ada biawak dan kala jengking, biar ia dinyahkan. Jangan membebankan PAS dan Pakatan Rakyat.

Baru bertelor dua butir sudah riuh satu Malaysia.

2 comments:

malaysia baru said...

Kadang2 kita lupa bhw kita baru menguasai sikit tapi kita perasan lebih...

Apakah yg boleh PAS minta dari UMNO? Boleh kita percaya janji pemimpin UMNO yg kita telah kenal lama? No way.

Mari rapatkan saff, mari kalahkan BN/UMNO yg telah merosakkan negara selama ini...

Kpd Pemimpin2 PAS: Dalam berpolitik pun mesti BIJAKSANA... Otherwise masuk perangkap musuh!

AFRAR YUNUS said...

salam sdra,
betul spt kata sdra. kena bijak berpolitik. jangan kerana boleh menguasai sedikit kerusi, amanah yang lebih besar dilupakan. umno bak kata pepatah, anjing yang tersepit. sesiapa yang menyelamatkan umno, akan digigit kemudian hari. itulah parti yang bergerak 'tanpa roh'. pemimpinnya tiada pedoman.
tk sdra.