Friday, April 18, 2008

Tun Mahathir perlu memohon maaf


Krisis kehakiman pada tahun 1988 telah memperkenalkan Malaysia ke arena antarabangsa kerana melaksanakan undang-undang hutan atau 'jungle law'.

Ekoran krisis dalaman UMNO pada tahun 1987 , Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir B Mohamed telah melancarkan serangan terhadap badan kehakiman. Beliau yang menang 43 undi dengan Tengku Razaleigh Hamzah bukan sahaja dikatakan memperkosa sistem pengasingan kuasa diantara tiga badan tertinggi negara, malah sanggup melihat UMNO diharamkan.

Enam orang hakim kanan dikenakan tindakan oleh sebuah tribunal 'jelmaan' Mahathir. Mereka adalah Tun Salleh Abas, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh dan Dato' George Seah. Manakala dua lagi telah meninggal dunia. Mereka adalah Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh.

Lantaran kemarahannya itu, Tun Dr Mahathir pernah menggelarkan para hakim sebagai 'kambing hitam' yang mahukan kebebasan yang berlebihan.

Akibat serangan demi serangan yang dibuat, Salleh Abas Ketua Hakim Negara ketika itu telah bermesyuarat bersama dua puluh hakim lain yang telah bersetuju menulis surat dan memaklumkan akan situasi sebenar kepada Yang Di Pertuan Agong.

Akhirnya satu tribunal telah diwujudkan dan telah memecat enam daripada mereka. Bukan sahaja badan kehakiman, malah warga Malaysia yang prihatin tentang undang-undang dan perlembagaan sangat-sangat tidak setuju dengan rentetan peristiwa malang tersebut.

Tun Hamid Omar terlibat sama dalam episod perbicaraan keenam-enam hakim berkenaan dan beliaulah orang yang 'bakal' menggantikan ketuanya pada ketika itu jika disahkan Salleh Abas bersalah. Entah doktrin apa yang dipakai oleh Hamid pada ketika itu yang membuatkan masyarakat menganggap badan kehakiman sebagai 'mockery institution'.

Abu Talib Othman bertindak dengan gahnya sebagai Peguam Negara. Rata-rata pada ketika itu, tanggapan umum tentang percakapan dan kenyataannya dilihat sebagai menyebelahi kerajaan. Abu Talib juga adalah Peguam Negara yang pernah meminta Polis memusnahkan barang kes - video lucah Timbalan Speaker Dewan Rakyat DP Vinjandran pada tahun1988.

Kini sudah dua puluh tahun ianya berlalu. Malupun sudah, menderita pun ada tetapi balasan yang setimpal belum ada.

Dua puluh tahun bukan satu masa yang pendek. Jika PM ketika itu mendapat anak atau cucu, maka anak atau cucunya kini sudah berada ditahun kedua pusat pengajian tinggi.

Kita bimbang dengan apa yang pernah diucapkan Mohtar Abdullah bekas Peguam Negara kepada hakim Syed Ahmad Idid. Kes ini juga melibatkan seorang hakim kanan. "Saya terpaksa berbuat demikian kerana ada meriam diacukan ke leher saya pada ketika itu". Begitu senang ucapan yang dikeluarkan oleh Mohtar yang kini sudah tiada.

Berbalik dalam kes Tun Salleh Abas dan lima hakim lain, keputusan Abdullah Ahmad membayar ex-gratia jelas membuktikan bahawa sesuatu yang luar biasa telah dilakukan dalam 'kes yang belum pernah sembuh' ini.

Kata Salleh Abas, "Saya tahu saya tidak boleh menang daripada segi undang-undang di hadapan kerajaan terdahulu tetapi doa saya dimakbulkan hari ini kerana saya diberikan kemenangan moral".

Di dalam bukunya Salleh pernah mengungkapkan, "Keadilan seperti juga kebenaran boleh diputar-putarkan dan dipermain-mainkan pada suatu masa tetapi sekali-kali tidak boleh dimusnahkan".

Pada saya bukan sahaja Abdullah Ahmad legasi kepimpinan parti Barisan Nasional yang memerintah sehingga sekarang tetapi yang paling utama Tun Mahathir, ahli tribunal, Abu Talib Othman dan kesemua mereka yang terlibat dengan penghakiman yang terancang itu perlu memohion maaf kepada hakim-hakim berkenaan dan juga kepada rakyat Malaysia.

Bagi rakyat Malaysia, jika maaf tidak dipinta, tuntutan untuk satu tribunal diwujudkan perlu dilaungkan supaya mereka yang terlibat dapat dibicarakan dalam kes penganiayaan bukan sahaja terhadap hakim-hakim malah terhadap badan kehakiman itu.
Pembetulan : menang 43 undi bukannya kalah. Harap maaf 19.04.08

3 comments:

Anonymous said...

NO, TUN SHOULD NOT> HIDUP TUN

Kerajaan Rakyat said...

Tun Mahathir adalah sejarah dan beliau adalah lambang kecelaruan politik UMNO. Kelantangan bidasan Tun Mahathir terhadap kepimpinan Abdullah adalah kerana agenda politik peribadinya sendiri. Beliau mula membidas Abdullah apabila perancangannya terhadap jambatan bengkok antara Johor dan Singapura dibatalkan Abdullah.

Tun Mahathir terus menekan Abdullah agar legasi politiknya tidak dibayangi oleh kepimpinan Abdullah selagi Tun masih hidup.

Dengan izin sila lawati

http://kerajaanrakyat.blogspot.com/

AFRAR YUNUS said...

salam sdra
bagi sdra amen, saya tidak menyangkal jasa Tun terhadap pembangunan Malaysia. namun jika ada yang tersilap dalam percaturan politiknya sebagai manusia biasa, kesilapan yg dilakukan terhadap manusia lain, atau agensi, sebagai seorang makhluk Allah swt, sepatutnya Tun memohon maaf. Tiada apa yang boleh mengecilkannya, malah dgn memohon maaf manusia lain akan menganggap Tun seorang yang berjiwa besar.

Kerajaan rakyat,
separuh daripada jawapannya telah saya tuliskan di atas. Saya bimbang jika negara terus ditadbir dan berjalan tanpa ada check and balance, nescaya generasi akan datang tidak dapat membezakan yang mana satu betul dan yang mana satu salah.
kita perlu pembangunan material namun pembangunan kerohanian tersangat diperlukan.
tk sdra.