Saturday, October 3, 2009

Bagan Pinang : PAS lwn UMNO

PORT DICKSON, 3 Okt (Bernama) -- Hanya dua calon iaitu Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dari Barisan Nasional (BN) dan Zulkefly Mohamad Omar dari PAS menyerahkan borang pencalonan masing-masing apabila tempoh penamaan calon selama sejam bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang berakhir pada pukul 10 pagi Sabtu.

Calon bebas Shahruddin Abdul Hamid, yang turut berada di pusat penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sejak pukul 9.20 pagi telah meninggalkan tempat itu kira-kira lima minit kemudian dan tidak muncul semula selepas itu.

Semasa meninggalkan dewan itu, Shahruddin memberitahu pemberita yang berada di pusat penamaan calon itu bahawa beliau sedang mencari seorang penyokong dari kawasan DUN itu untuk menyokong pencalonannya.

Selepas tempoh pencalonan ditutup, tempoh bantahan selama sejam lagi kini berjalan dan pengawai pengurus pilihan raya kecil itu Abdul Wahab Shamsuddin kemudiannya akan membuat pengumuman bagi memuktamadkan calon-calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu yang djadualkan pada 11 Okt ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyadangnya Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 Sept lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Azman berjaya menewaskan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

-- BERNAMA

No comments: