Tuesday, May 12, 2009

Razaleigh : Sultan dan sistem beraja tanggung malu


Semuanya kelihatan seperti drama bersiri yang belum ditetapkan bilangan episod terakhirnya. Pengarahnya terlalu ramai.

Kelmarin apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengistiharkan Mohd Nizar Jamaludin masih sebagai Menteri Besar Perak yang sah, terlalu banyak komen termasuk daripada politikus veteran mengatakan, "demokrasi telah dikembalikan" dengan keputusan tunggal hakim berkenaan.

Bagi saya, adalah terlalu awal untuk mencerminkan demokrasi, kebebasan
kehakiman, ketelusan kerajaan, kewibawaan institusi istana dan sebagainya hanya dengan satu penghakiman yang dilihat sebagai "mewakili suara majoriti rakyat".

Biar mulut Zambry Abdul Kadir bertasbih beribu kali mengatakan, "kita terima keputusan mahkamah", namun tindak-tanduk awalan Abdullah Ahmad, Najib Abd Razak dan Zambry sendiri telah mencontengkan arang ke muka pengadilan dan demokrasi itu sendiri.

Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa, "kita bimbang tiada penyelesaian. Perkara ini perlu dilihat dari perspektif rakyat" ketika mengulas kemelut di Perak.

Malah, isu penculikan V Sivakumar dari Dewan Undangan Negeri biar hanya untuk seketika merealisasikan kebiadaban penggubal undang-undang yang dilihat sebagai tidak beretika dan tidak bermoral.

Sudahlah perlantikannya Speaker baru datang dari satu kumpulan yang tidak sah, tanpa upacara mengangkat sumpah seperti lazimnya dan tindakan mereka 'mengkatunkan' DUN yang sebelum ini dikira mulia, sangat-sangat mencemar dan memalukan rakyatnya.

Mei 7 pasti meninggalkan kenangan pahit dan manis. Perak masih menangis sesudah Gaza.

Anak raja Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah berpandangan bahawa peristiwa ini bukan sahaja telah membelit Perak, malah merosakkan keluhuran undang-undangnya, mencalarkan badan kehakiman, polis dan pentadbiran awamnya serta mencemarkan sistem beraja di mata umum.

Tegas Razaleigh lagi, "sultan dan sistem beraja itu sendiri menanggung malu dengan babak ini".

Ahli-ahli politik dari Gerakan, Pakatan Rakyat, pakar perlembagaan, Suhakam, NGO, mereka yang berminat dengan politik dan undang-undang, pemerhati politik, penulis, mahasiswa, pekerja, individu dan rakyat bukan sahaja dari Perak hatta seluruh Malaysia mengharapkan agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan supaya hak rakyat dikembalikan ke tangan mereka.

Mahkamah tidaklah merupakan institusi terbaik. Ia bertindak seperti "muzium". Tiada roh di dalam undang-undang buatan manusianya.

Dewan Undangan Negeri telah dicemarkan dengan kerakusan politikus, polis dan senjata, dan banyak 'binatang betopengkan manusia' di dalamnya baru-baru ini.

Sistem monarkinya sentiasa menegaskan bahawa mereka bukanlah bisu dan pekak. Tetapi tidak ke mana jua tindakan mereka.

Kuasa hebat yang ada hanyalah pada rakyat. Makkal shakti sahaja dapat merubah keadaan. Bukan sahaja mahkamah, DUN dan monarkinya malah kepimpinan yang buta boleh digantikan dengan kuasa hebat ini.

Tengku Razaleigh menambah, "kita berharap Sultan memperkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri".

Jangan jadi macam, "hidung sudah rampung, masih mahu diatur orang".

No comments: