Wednesday, July 30, 2008

Biawak dan kalajengking dalam PAS ?

Abdullah Ahmad Perdana Menteri Malaysia rupa-rupanya berjaya memerangkap dan berjaya pula memperbodohkan kepimpinan tertinggi PAS.

Isu muzakarah dan muqabalah menggembirakan Khir Toyo juga. Bukan sahaja dia, ramai ahli UMNO yang dikatakan lembam oleh PAS selama ini kerana menyokong pemimpin UMNO secara membabi buta, kini ketawa terbahak-bahak.

Terhegeh-hegeh menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa PAS merupakan sebuah parti politik yang berada pada nilai saham yang tinggi berbanding parti UMNO yang sedang menuju kepupusannya.

Saya bersetuju sangat sejak dahulu lagi bahawa kesetiaan ahli-ahli PAS adalah jitu. Mereka tidak pernah berlaih arah selama ini. Mereka taat setia kepada tok-tok guru dan ustaz-ustaz seolah-olah kata-kata dan arahan yang mereka terima adalah suruhan dan larangan seperti yang tertulis di dalam Al Quraan dan Hadis. Tidak patut dibantah. Ikhlas dalam perjuangan.

Dahulu PAS menolak asabbiyah atau parti dan kefahaman yang mementingkan perkauman. Namun tiba-tiba kepimpinan PAS mahu menjilat parti UMNO yang dilabelkan sedemikian rupa selama ini.

Parti tersebut belum berubah kefahamannya. Mereka masih tidak menerima apa yang PAS perjuangkan selama ini. Apa yang tiba-tiba menarik sangat tentang UMNO ?

Berbincang untuk menyelamatkan umat Melayu ?

Berapa ramai Melayu di dalam dan di luarUMNO menjadi rakyat kelas kedua selama ini ? Belum lagi rakyat keturunan Cina, India , Siam dan mereka di Sabah dan Sarawak.

Apakah Dasar Ekonomi Baru, rasuah, penyelewengan, royalti minyak di Terengganu, wang perkapita di Kelantan yang dirampas kerajaan persekutuan, peristiwa Memali, tangkapan di bawah ISA, Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Rahsia Rasmi, Akta Percetakkan, kebebasan akhbar dan semua penindasan yang ditunjangi UMNO selama ini telah terhapus atau telah dmaafkan oleh beberapa kerat pemimpin PAS ?

Kini ramai yang mula menganggap PAS bukan sahaja sedang membawa biawak hidup di dalam kantungnya, malah ada juga kala jengking bersama-sama beberapa pemimpin tertinggi mereka.

Kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Hj Mahfuz Omar yang memohon maaf kepada penyokong parti tersebut seharusnya diperhalusi.

Jika ada biawak dan kala jengking, biar ia dinyahkan. Jangan membebankan PAS dan Pakatan Rakyat.

Baru bertelor dua butir sudah riuh satu Malaysia.

Tuesday, July 29, 2008

Hentian Puduraya lambang kecelaruan pemimpin

Hentian Puduraya atau lebih dikenali sebagai Puduraya. Satu tempat persinggahan manusia dari dalam negeri dan luar negara yang samada berurusan rasmi atau melancung ke Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan yang sekitarnya.


Dirasmikan pembukaannya pada tahun 1976 oleh Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, Tun Hussin Onn.


Persinggahan dan laluan darat menggunakan bas dari utara, timur dan selatan menjadikan Puduraya terkenal dan sentiasa sibuk.


Kini dirasakan bangunan berusia 32 tahun itu seperti sudah ketinggalan zaman. Apa tidaknya.


Setiap hari lebih-lebih lagi pada cuti hujung minggu dan pada hari-hari perayaan, ianya seperti tidak dapat menampung bilangan penghuni yang semakin bertambah. Kelihatan dan dirasakan terlalu sempit.


Tempat duduknya yang tidak mencukupi dan tidak selesa. Tidak mesra orang kurang upaya dan warga tua .


Pengaliran udara di dalam bangunan yang tidak lancar. Keadaan panas dan berkuap. Bukan sahaja orang dewasa, malah kanak-kanak menjadi rimas.


Bilik airnya yang terlalu sempit dan bilangannya yang sangat kecil menggusarkan pengguna.


Berbelanja berjuta ringgit pada tahun 2006 untuk memperbaiki prasarananya, namun masih ketinggalan dalam pelbagai segi.


Dalam kesibukan pelbagai kaum, jantina dan pelbagai usia manusia, masih dapat dilihat kelakuan sumbang bercium, berpelukan dan raba-meraba di sana-sini. Baik lelaki, perempuan atau pondannya. Kejadian yang tidak sepatutnya dilakukan oleh penduduk Malaysia lebih-lebih lagi mereka yang bernama Melayu dan Islam.


Penagih dadah walaupun sudah berkurangan, namun masih kelihatan menjalankan perniagaan menjual jam , talipinggang dan sebagainya.


Sudahlah dengan gejala seperti itu, rokok pula dihisap di merata tempat. Seolah-olah ia tidak termasuk dalam kawasan larangan awam. Habis satu badan berbau asap rokok. Bagi mereka yang berpenyakit atau ada alahan, terpaksa akur dengan undang-undang mayat Malaysia.



Melayu Malaysia sudah diglokal dan diangkasakan. Kini, kebanyakkan peniaga di Puduraya adalah orang Indonesia. Berlumba-lumba mencari pelanggan. Harga makanan mengikut harga saham. Jika tidak diikuti ke gerai mereka, kata-kata kasar dihemburkan oleh peniaga kurang sopan ini.


Lima belas atau dua puluh tahun dahulu ulat-ulat tiket basnya tidaklah banyak. Beberapa orang lelaki sahaja ketika itu. Sekarang, hampir tujuh puluh ke seratus orang berkeliaran seperti ‘binatang’ yang menipu pelanggan dan pengguna bas. Sebahagian daripada mereka adalah wanita.


Bukan sahaja ulat-ulat binatang bertopengkan manusia, malah pekerja di kaunter baspun sanggup menaikkan harga hampir 75% sehingga 100% pada hujung minggu. Harga ditiket lain, dijual pula dengan harga 'politikus'. Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan, Lembaga Pelesenan Kenderaan, Polis dan lain-lain agensi hampir-hampir tiada . Mereka membutakan mata .


Setiap hari pengguna ditipu di sini. Kenapa jadi begini ?


Segala kejijikan ada di Hentian Puduraya. Satu kawasan kecil yang penting tetapi berada di luar kawalan kerajaan dan agensi-agensinya. Hentian Puduraya melambangkan kecelaruan pemimpin negara. Rakyat sebagai pengguna dirompak hak, kebebasan dan keharmonian mereka pada siang hari di sini.


(Foto:Wikipedia)

Sunday, July 27, 2008

PAS belum berdiri, mahu lari sekuat-kuatnya


Jika ditanya pandangan, samada muzakarah atau muqabalah - memang patut ianya diadakan. Tetapi apabila ianya sampai ke peringkat rahsia besar dan bukan untuk pengetahuan ahli-ahli parti, maka sesuatu yang luar biasa sedang dilakukan oleh Presiden PAS, Timbalannya Nasharuddin Mat Isa, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mustafa Ali dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad.

Walaupun sudah lima puluh tahun di persada politik tanahair, usia lima bulan PAS ibarat 'budak hingusan' dalam pembentukan kerajaan negeri apatah lagi membincangkan soal kerajaan campuran UMNO dan PAS. Manifesto pilihanrayanya pun masih tergantung di sana-sini, apa mahu dibincang soal yang lebih merumitkan.

Dikira masih belum boleh berdiri dengan kaki sendiri mahu pula berlari ke peringkat antarabangsa. Wah! hebatnya pemimpin PAS.

PAS tidak mempunyai keyakinan diri. Presiden PAS sejak awal lagi sanggup menjadi orang bawahan dan pak turut. Sebelum ini beliau beria-ia dengan menawarkan berkali-kali jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat andainya PAS menguasai majoriti.

Itulah agaknya sebab kenapa Terengganu terlepas ke tangan orang.

Apakah matlamat PAS mengadakan perbincangan sedemikian rupa dengan UMNO ? Mahu menyelamatkan bangsa Melayu? Atau mahu menyelamatkan Islam ? Atau, mahu berkongsi kuasa menggadai maruah ?

Bagi saya diri sendiri PAS belum bersedia dan yakin. Apakah UMNO dan BN yakin dengan PAS atau mereka mempunyai agenda memfaraidkan kemusnahan yang sedang dihadapi supaya PAS dan Pakatan Rakyat sahaja yang menanggung saka kepupusan itu.

Diandaikan UMNO dan BN terus mendapat sokongan rakyat sama seperti pada pilihanraya ke sebelas yang lalu, adakah PAS akan diajak untuk bermuzakarah atau bermuqabalah seperti sekarang ?

Kita tidak mahu pemimpin PAS lupa diri. Jarum yang Abdullah Ahmad Perdana Menteri Malaysia hulurkan mungkin berbisa.

Muzakarah atau muqabalah boleh diadakan. Apa yang hendak disemukakan. Apakah rakyat tidak berhak untuk mengtahui ? Sepatutnya, asas kefahaman adalah titik permulaan. Bukannya negeri dan jawatan.

Karpal Singh dari DAP rakan Pakatan Rakyat sudah mula mempersoalkan dan ingin tahu hasrat PAS tersebut. PKR sudah gelabah dan mahu penjelasan. Penyokong PAS sudah nampak jalan bercabang-cabang.

Berhati-hati supaya tidak di'terajang' untuk kali kedua. Jika ini berlaku, percayalah, penyokong PAS dimerata pelusok tidak akan melepaskan kepimpinan mereka pergi begitu sahaja.

Saya kira kenyataan dan pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh dijadikan iktibar dan ikutan dalam kemelut ini
(Foto:Malaysiakini)

Thursday, July 17, 2008

MB : Langkawi Permata Kedah

Mulai 16 Julai 2008 Langkawi telah dikenali sebagai Langkawi Permata Kedah. Demikian diumumkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Saturday, July 12, 2008

TV3 dan kewartawanan pelacur

Seperti cacing kepanasan. Itulah ibarat media arus perdana di negeri-negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Apa sahaja yang dianggap oleh mereka sebagai keburukan atau kelemahan akan cuba disiarkan untuk membangkitkan kemarahan rakyat.

Di Kedah, penggunaan jet oleh Sultan Kedah dijadikan isu oleh TV3.

Ramai yang menganggap paparan berita itu sebagai murahan dan tidak bernilai. "Berita ikut minda pelacur wartawan dan pengurusan TV3" kata seorang aktivis NGO. "Ikut sedap dia sahaja nak masukkan berita" tambahnya lagi.

Apa kata Mahdzir Khalid dan kepimpinan UMNO dan BN negeri? Perlukah TV3 memohon maaf atau berita itu dianggap wajar ?

Kata orang Kedah, TV3 sedang mencari jejak di dalam air. Nilai beritanya sama seperti kuda kencing dipapan.

Friday, July 11, 2008

Ceramah 12 Julai berubah tempat

(Sumber: Harakah)

ALOR STAR, 11 Julai (Hrkh) - Ceramah Perdana 100 Hari Kerajaan Kedah yang dijadualkan diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti malam esok, Sabtu 12 Julai dipindahkan ke Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput ke sana malam esok. Selain Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak, turut akan menyampaikan ceramah ialah Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha program, Ustaz Fakhruzzaman Jamil kepada HarakahDaily malam semalam.

Thursday, July 10, 2008

Takziah kepada keluarga kekanda

Kelmarin 9 Julai 2008 (Rabu) jam 11.05 pagi kembalinya kekanda kami Almarhum Shamse Alam B Md Yunus ke rahmatullah dalam usia 48 tahun akibat penyakit diabetes.

Telah disemadikan di tanah perkuburan Kg Kuak Luar Keroh Perak selepas waktu asyar.

Takziah kepada anak-anak saudara Shahzadah Aftaab Alam dan enam adik-adiknya. Tabah menghadapi keadaan, banyak bersabar, ingat Allah swt selalu dan mohonlah kepadaNya dalam apa jua perkara.

Semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan rohnya bersama-sama orang yang soleh dan memberkati JannahNya.

Iran menjadi sasaran

Seperti biasa Amerika dan Israel sangat bimbang dengan apa jua jenis latihan ketenteraan yang dilakukan oleh Iran.

Terbaru, pelancaran peluru berpandu Iran Shahab-3 dengan sasaran sejauh 2000 km yang dikatakan mampu mengenai Tel Aviv dan kepentingan Amerika di Timur Tengah sangat menakutkan mereka.

Negara-negara seperti Amerika, Israel, Britain, Peranchis, Russia dan sekutu mereka dibolehkan membuat dan memiliki senjata seperti itu tetapi Iran tidak dibenarkan.

Inilah 'demokratik' dan undang-undang yang diamalkan oleh barat dengan diketuai oleh polis dunia Bush dan bapanya yang 'sewel' itu.

Lebih mendukacitakan ialah, Arab Saudi dikatakan tiada apa-apa halangan jika Amerika dan sekutunya menyerang Iran.

"Arab" yang masih tidak sedar bahawa mereka dibunuh seperti katak oleh Amerika dan Israel. Arab di Iraq merupakan contoh terbaik untuk diperhatikan. Satu ketika dahulu mereka melambai-lambai memanggil 'American Brothers' untuk me'nyah'kan Saddam Hussin.

(Foto:Al Jazeera)

Monday, July 7, 2008

53% mahu kerajaan BN ditukar

Pertama sekali saya mengucapkan ribuan terimakasih kepada pengunjung laman blog alkerohi yang telah bermurah hati bekerjasama memberikan undian terhadap soalan yang dikemukakan.

Selama satu bulan, sejumlah 177 undian telah diperolehi. Pertembungan Tun dan Abdullah, apa kata anda. Itulah soalannya.

56 daripada 177 orang iaitu 31% mengundi menyokong Tun Mahathir. Abdullah Ahmad pula mendapat 4 undi iaitu 2% sokongan.

Bermakna majoriti masih mengharapkan dan menyebelahi Tun.

Sejumlah 23 pengundi iaitu 12% tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak. Mereka merasakan adalah perlu membiarkan dua tokoh ini dengan masalah sendiri.

Secara keseluruhannya 94 pengundi daripada 177 orang iaitu 53% mahukan agar kerajaan yang ada sekarang iaitu BN ditukarkan atau digantikan.

Terimakasih sekali lagi.

Saturday, July 5, 2008

Kedah simpan peluru untuk membunuh diri

Hari ini hampir empat bulan PAS dan Pakatan Rakyat memerintah Kedah. Pecinta kerajaan ini gembira kerana terlalu banyak peluru yang disimpan untuk menyerang balas kerajaan BN yang kalah apabila diperlukan.

Sebelum pilihanraya kedua belas, banyak yang diperkatakan bukan sahaja oleh masyarakat tetapi juga pemimpin Pakatan Rakyat tentang penyelewengan demi penyelewengan yang dilakukan oleh Barisan Nasional di Kedah di bawah kepimpinan Mahdzir Khalid.

Pada masa ini juga, pemerhati politik menyifatkan Kedah ibarat sebutir bom berani mati. Kenapa?

Keputusan pilihanraya kedua belas menunjukkan perubahan ketara pengundi Cina, India dan Siam. Mereka beralih menyokong Pakatan Rakyat di atas pelbagai faktor.

Manakala trend pengundi Melayu penyokong Barisan Nasional menampakkan sedikit sahaja perubahannya. Pakatan Rakyat menerima undi mereka di atas sikap memprotes dan bukannya sokongan. Malah, protes mereka adalah satu percubaan.

Saya tidak mahu mengatakan bahawa kuasa PR di Kedah berada dihujung tanduk. Namun beberapa isu penting melibatkan rakyat perlu diperhalusi dan diselesaikan.

Pertama, jentera kerajaan negeri Kedah termasuk kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih berbulan madu. Sedangkan kenaikkan harga petroleum telah membuatkan rakyat Kedah mula gelisah dan bersuara.

Cubaan rakyat menghubungi wakil rakyat termasuk exco kerajaan negeri melalui telefon umpamanya kerapkali gagal. Samalah jika dikatakan mewarisi perangai tidak bertanggungjawab pemimpin UMNO dan BN dulu. Bilik pejabat exco di Wisma Darul Aman ditinggalkan tanpa penghuni. Panggilan telefon pejabat tidak terjawab.

Saya telah mencubanya sendiri beberapa kali. Mahu disebutkan nama exco berkenaan ?

Sungguhpun harga petroleum bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, penduduk Charok Nau, penduduk Wang Tepus, penduduk Sungai Ular dan kawasan pedalaman kurang pasti tentang itu.

Apa yang mereka mahu ialah, harga barang makanan tidak dinaikkan sewenang-wenangnya.

Rakyat dikampung kurang mendapat berita terkini. Ceramah-ceramah menemui rakyat seperti diadakan sebelum pilihanraya boleh dikatakan sudah lapan puluh peratus berkurangan. Mungkin kerana keadaan dianggap ‘selesa’.

Kakitangan pejabat MB seperti Setiausaha Politik, Setiausaha Akhbar, Pegawai Khas dan lain-lain pegawai masih belum bangun untuk mendekati rakyat.

Atau, apakah wakil rakyat PR dan pegawai-pegawai ini berada di dalam tekanan atau sedang menanti arahan pihak-pihak tertentu.

Keduanya, masyarakat pelbagai kaum di Alor Star merungut dengan kadar bayaran meletak motosikal dan kenderaan yang agak tinggi. Apakah tindakan kerajaan negeri dalam memperbetulkan kegelisahan masyarakat ?

Sudahlah tempat meletak kereta tersangat kurang, tindakan Majlis Bandaraya Alor Star merantai dan mengangkut motosikal kelori-lori mereka sangat merunsingkan pengguna.

Bukan setakat itu, parit dan longkang masih tersumbat di sana-sini. Sampah berselerak di hadapan rumah-rumah. MBAS ditakuk lama. Apa cerita dengan Taulan Rasul Exco Kerajaan Tempatan ?

Mahu rakyat mengikuti langkah Hj Mahfuz Omar – melonggok sampah di hadapan MBAS ?

Alasan banyak penyelewengan kerajaan dahulu tidak dapat diterima.Kenapa tidak diambil tindakan?

Ketiganya, kegagalan kerajaan persekutuan Abdullah Badawi mengawal kenaikkan harga barangan memaksa penduduk Kedah menuding jari kearah Kerajaan Negeri yang mengambil sikap membisu yang hampir sama sikapnya seperti si kaki lena itu.

Sikap membisu ini telah menumbangkan empat kerajaan negeri Barisan Nasional. Apakah Kedah masih belum memahami dan mengambil iktibar dari situasi ini.

Tidak salah saya katakan, PR sebenarnya terkejut dengan keputusan pilihanraya yang mereka sendiri tidak jangkakan. Masih traumakah ?

Rakyat mengharapkan perubahan. Jika tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya manifesto pilihanraya, lakukanlah sesuatu untuk memperbetulkan apa yang menjadi rungutan orang ramai.

Apapun, sesuatu perlu berubah. Jangan tunggu keputusan rakyat untuk mengubah apa yang sudah ada. Jentera penerangan Kerajaan Kedah gagal menyampaikan maklumat ke peringkat akar umbi. Buat masa ini, rakyat disogokkan berita media perdana.

Tindakan Dr Ismail Salleh Exco Penerangan belum menampakkan apa-apa hasil.

Keempatnya, desas-desus mangatakan tentang keuzuran Ustaz Azizan Abd Razak Menteri Besar sekarang. Timbul pula ramalan-ramalan yang dibuat tentang kepimpinan baru dan sebagainya. Jika perkara seperti ini dibiarkan melimpahi pemikiran rakyat, apakah kesudahan yang bakal diharapkan ?

Kelimanya, jangan seronok sendiri menyimpan banyak peluru di pihak PR untuk menyerang balas apabila diperlukan. Strategi sepatutnya bermula dari sekarang. Serangan sudah sepatutnya dilakukan bermula tarikh 08 Mac 2008.

Keenam, kegagalan Mahdzir Khalid sebagai Ketua BN negeri merupakan satu kelebihan kepada PR. Mahadzir sebenarnya sudah tewas ketika mula-mula memegang jawatan MB Kedah. Mahadzir menggunakan Abdullah Ahmad untuk membayangi politik Kedah. Oleh itu PR tidak perlu bangga bahawa mereka berada diposisi kuat dan kebal serta BN meninggalkan banyak isu yang boleh menikam mereka.

Malah isu-isu yang ditinggalkan BN bakal menjadi penyakit kepada PR.

Ketujuh, kerajaan Selangor, Perak dan Pulau Pinang telah dan sedang diuji dengan pelbagai isu. Sudah tentu mereka lebih waspada. Dibimbangkan PR Kedah ‘syok’ sendiri yang akhirnya membiarkan anai-anai meruntuhkan apa yang ada.

Kemana pergi isu-isu yang dimainkan sebelum ini ? Apakah tindakan kerajaan negeri Kedah dalam menanganinya?

Apa terjadi dengan Marina Harbour. Chalet Pulau Sayak dijadikan tempat ternakan ayamkah ? Jambatan Pulau Bunting apa kesudahannya ? Chalet Tasik Pedu mahu dijadikan apa ? Kompleks Ikan Bakar Kuala Kedah menjadi tempat simpanan peluru politikkah ? Kompleks sembelihan haiwan di Paya Pahlawan menjadi tempat latihan tentera Pakatan Rakyatkah ? Perlantikan JKKK masih belum dibuat. Apa jadi ?

Rakyat sudah mula bertanya. Apakah projek ini dibiarkan begitu sahaja. Atau, adakah ianya dijadikan kolam mandi, menjadi restoran, menjadi medan gajah berkeliaran dsb.

Rakyat sedang menanti Skim Perlindungan Takafful, Skim Khairat Kematian, Insuran wargatua tanpa mengira kaum dan banyak lagi insentif negeri kebajikan.

Walaupun diketahui, empat bulan bukan satu masa pelaksanaan dan untuk dibuktikan kejayaan. Tetapi titik permulaannya dimana ?

Kita bimbang isu-isu ini bakal mengisi lima tahun kemenangan PR di Kedah. Diteruskan tradisi pembaziran wang rakyat sepertimana yang dilakukan oleh BN tanpa mengambil tindakan memperbetulkan keadaan yang sudah pastinya bakal memuntahkan kemarahan rakyat.

Saya juga bimbang falsafah ‘pacat akan terjatuh setelah menghisap darah’ tidak berlaku. Apa halnya jika air tuba dibalas dengan air susu tidak menjadi ?

Jangan membiarkan rakyat membuat tanggapan bahawa Kerajaan Negeri sedang membasuh muka dengan air liurnya mereka sendiri.

Biarkan undi protes berubah menjadi sokongan. Kerajaan yang ada menjadi ikutan dan contoh sepertimana Kelantan. Jangan jadikan Kedah, "biarkan, biakpila dulu..."

Atau mahu tunggu peluru-peluru itu menjadi bom berani mati rakyat yang mengorbankan kerajaan? Atau mahu mengharakirikan Kedah ?

Friday, July 4, 2008

Ust Hadi, MB Kedah dan Anwar di Alor Star

Ceramah di Stadium Sultan Abdul Halim Alor Star pada 12 Julai 2008 sempena 100 hari Pakatan Rakyat memerintah Kedah.

Penceramah:

1.Ustaz Abdul Hadi Awang (Presiden PAS)
2.Ustaz Azizan Abd Razak (MB Kedah)
3.Dato' Seri Anwar Ibrahim (Penasihat Keadilan)

Thursday, July 3, 2008

Najib melakukan seks dengan Altantunya

Betulkah Timbalan Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak pernah melakukan hubungan seks dengan Altantuya Shaariibuu wanita Mongolia yang diletupkan jasadnya dengan bahan C4 dua tahun yang lalu?

P Balasubramaniam penyiasat persendirian yang digajikan oleh Abdul Razak Baginda mendedahkan perkara ini di dalam akuan bekanunnya pagi ini.

Bala juga memberitahu pendedahannya itu pernah dibuat kepada pihak Polis dua tahun yang lalu tetapi telah ditutupkan cerita sebenar.

Beliau juga menyatakan, ketika kejadian Najib ada cuba menghubungi Musa Hassan untuk membincangkan kes tersebut bagi menyelamatkan Razak Baginda.

Kisah Altantunya semakin berkembang biak. Semakin lama semakin mengelirukan. Rakyat Malaysia sudah hilang kepercayaan kepada Ketua Polis Negara dan juga Peguam Negara.

Abdullah Ahmad Perdana Menteri Malaysia yang cacat itu perlu menggantung tugas Peguam Negara dan Ketua Polis Negara sehinggalah penyiasatan terhadap mereka selesai. Membiarkan mereka berkeliaran sudah pasti akan menjejaskan tugas penjawat awam yang berminat untuk menyiasat kes ini.

Penyiasatan ini hendaklah dilakukan oleh satu suruhanjaya bebas yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong demi menyelamatkan maruah rakyat Malaysia dan institusi raja itu sendiri.

BPR tidak mampu menjalankan penyiasatan dalam perkara ini kerana ia adalah satu badan yang gagal memainkan peranan sebenar dan saling bantu membantu pula untuk menyelamatkan 'sahabat-sahabat'nya.

Banyak persoalan yang timbul sejak akhir-akhir ini. Adakah wanita Monggolia itu akan terbunuh jika Razak Baginda sahaja yang berhubungan zahir dan batin dengan Altantunya ?

Apakah kerana Najib juga terlibat dalam perhubungan seperti itu, maka Rosmah terpaksa campur tangan untuk menutup aib keluarganya ?

Bahan letupan C4 diambil dari mana ?

Kenapa berani sangat Raja Petra membongkar cerita 'sebenar' sedangkan Rosmah dan Najib enggan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya ?

Semakin ramai yang cuba membakar air untuk mengambil abunya. Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Najib Razak, Rosmah Mansor, mahkamah membicara kes Altantunya dan siapa lagi ?

Masa yang lepas tidak akan kembali lagi.