Peranan PM dan Presiden MIC : Hukum Ajaib dan Ghaib ?
Biasa saya hadir ke mahkamah sebagai pekerja sosial membantu beberapa ahli masyarakat yang memerlukan bantuan.
Oleh kerana salah seorang daripada ahli masyarakat itu adalah dari kalangan orang kampung yang pada mulanya meminta bantuan mahkamah majistret untuk memulakan satu prosiding di tempat keadilan itu, kemudiannya berubah fikiran untuk tidak meneruskan permohonannya , ia dileteri oleh majistret hampir beberapa minit.
Diantara yang dikatakan kepada ahli masyarakat itu adalah, "awak tidak fikirkah sebelum membuat permohonan ini. Awak bukan sahaja salah gunakan prosiding di mahkamah, tetapi membuang masa mahkamah dan pegawai-pegawai yang bertugas di sini. Banyak kes terganggu oleh kerana tindakan awak ini. Mahkamah tidak boleh melayan kes seperti ini. Lain kali awak berfikir habis-habis sebelum datang ke mahkamah".
Nah ! Saya tidak ada di mahkamah ketika Gani Patail yang bergegas memulakan prosiding terhadap 31 orang dari Hindraf dengan tuduhan cubaan membunuh, dan seminggu selepas itu dengan muka tidak malunya itu, kembali ke mahkamah yang sama dan menarik balik pertuduhan terhadap mereka.
Sudahlah dia tidak harapkan timbalan pendakwarayanya, Polis juga diperlekehkan kerana "mungkin" tersalah tangkap, tersalah membuat tuduhan atau 'sengaja main-main'.
Jika bukan polis yang salah tangkap atau main-main, maka sahlah dakwaan masyarakat bahawa pendakwaan di mahkamah ada hubungkait dengan campur tangan politik.
Apa tidaknya, Abdullah Ahmad dan Samy Vellu yang lemah itu dengan jelas telah menunjukkan belang mereka apabila meminta Gani Patail untuk membatalkan prosiding di mahkamah.
Adakah Hakim di mahkamah meleteri Gani Patail seperti apa yang ahli masyarakat saya menerimanya sebagai 'nasihat' daripada majistret di kampung kami.
Saya terfikir-fikir, di bawah pentadbiran Abdullah, penangkapan oleh polis dan pendakwaan yang dilakukan oleh Peguam Negaranya terhadap rakyat marhain adalah secara terpilih. Suwandi dan rakannya yang beragama Islam yang dituduh di mahkamah Kuala Terengganu tidak pula mendapat pembatalan pertuduhan seperti itu.
Agaknya Yang Arif Hakim dan Yang Arif Majistret di mahkamah yang berlainan menerima didikan yang berlainan dari universiti yang berlainan pula.
Atau, hukum manusia di Malaysia melalui kepentingan kuasa dan arahan politik sedang menjelmakan sesuatu yang ajaib dan ghaib ?
Beratus tahun yang lampau, Rousseau, seorang ahli filosofi penegak demokrasi telah melahirkan kebimbangan terhadap pelaksana sistem demokrasi dengan bertanya, "kenapa manusia dilahirkan bebas tetapi kehidupannya masih terantai ?"
No comments:
Post a Comment