Wednesday, June 25, 2008

Tun Mahathir ibarat kucing tidak bergigi

Bukan sahaja Timbalan Presiden MIC G Palanivel malah Presidennya Samy Vellu hatta seluruh MIC tidak berani mengangkat kepala ketika di bawah pemerintahan Dr Mahathir Mohamed.

Semua keputusan yang dibuat kabinet dipersetujui belaka. Tidak kira idea itu memenuhi hasrat dan falsafah demokrasi atau tidak.

Namun pada hari ini apabila Dr Mahathir sudah tidak berkuasa, satu persatu apa yang dikatakan keburukkan atau kelemahannya diungkit bukan sahaja oleh UMNO dan BN tetapi juga oleh pemimpin yang mencium dan menjilat tangannya.

Betullah kata orang tua-tua. Apabila kucing sudah tidak bergigi bukan sahaja tikus berani melompat dihadapannya malah berani pula menari pelbagai rentak dihadapan kucing itu.

Legasi apa yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir untuk UMNO dan BN mengingatinya ? Seolah-olah tidak berjasa langsung mantan Perdana Menteri ini dihadapan mereka.

Saya bukanlah dari kalangan pemuja jitu Dr Mahathir. Saya tahu banyak institusi yang pernah dirobekkan oleh Tun di zaman pemerintahannya. Namun saya mengaku di bawah pemerintahannya juga Malaysia terkenal di seluruh dunia. Secara positifnya Mahathir telah membangunkan negaranya dari segi fizikal sungguhpun rohaniahnya banyak yang diabaikan.

Saya sangat berkeyakinan Abdullah Ahmad yang terkenal sebagai cucu ulama jika diberikan peluang memerintah seratus tahun lagi tidak akan berkeupayaan menandingi Mahathir. Bukan dalam bidang kerohanian, hatta pembangunan materialnya juga pasti akan berkecai.

Abdullah merupakan pemimpin tertinggi paling cacat yang pernah dilahirkan oleh UMNO. Ramai yang mengatakan, olehkerana terlalu percaya dan mengharapkan penasihat-penasihat tidak berkualiti, Abdullah telah menggadaikan maruahnya.

Abdullah bikin tidak serupa cakap.

Dipersada politik Malaysia kini, Mahathir sedang melangkah menongkah arus. Mahathir tidak sealiran dengan pembawaan kepimpinan parti yang tinggalkannya. Maka, bagi UMNO parti ‘tanpa roh’ itu, Mahathir sepatutnya menerima sebagai pengajaran dan pembalasan apa yang pernah dididik dan diamalkannya selama 22 tahun baik di dalam parti atau kerajaan.

Apakah Mahathir pernah mendidik UMNO supaya menghormati orang lain atau hanya menanamkan sikap takutkan pemimpin?

Apabila pemimpin seperti ini sudah tidak berkuasa, bukan sahaja G Palanivel dan Samy Vellu berani melompat dihadapannya, malah UMNO dan BN hatta pemujanya termasuk seluruh ahli UMNO, Majlis Tertinggi, kabinet, kaki-kaki ampu, pengamal media dan penyokong -penyokong nya berani berdondang sayang atau bersamba dihadapan dan belakangnya.

Dimana tanggungjawab bersama dalam membuat keputusan satu ketika dulu? Atau mahu dikatakan di zaman Mahathir, UMNO dan BN tidak diberi kebebasan bersuara? Sepertimana kurang diberikan kebebasan itu kepada PAS, Keadilan dan DAP.

Bukan setakat itu, apa yang lebih membimbangkan ialah bilamana tikus berani pula bersamba di atas kepala kucing yang sudah tidak bergigi itu.

Jika pemimpin besar UMNO boleh disambakan di atas kepalanya, maruah apa yang masih ada pada diri ahli-ahli UMNO ? Jika Mahathir dianggap seperti kucing tidak bergigi, Abdullah, keluarga dan kroninya pasti akan mengalami nasib yang lebih dahsyat dari itu.

Jangan dilihat dulu masa hadapan rakyat dan negara apabila dua gergasi besar ini bertembung.

Renungkanlah apakah pembelaan dan kedudukan ahli UMNO ? Masih ada maruahkah setelah pemimpin besar mereka ditelanjangkan untuk tontonan dari pelbagai sudut ?

Ahli UMNO ibarat melukut ditepi gantang. Ada serupa tiada. Tidak dapat melakukan apa-apa untuk menyatakan kebenaran dan berterimakasih kepada pemimpin besar sendiri.

No comments: